KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan prinsip penambahan penyertaan kerusi Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak dengan nisbah perwakilan kedua-dua negeri itu mesti lebih tinggi berbanding kedudukan sekarang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu telah dipersetujui secara prinsip lebih awal sebelum Jemaah Menteri pada Rabu lalu meluluskan prinsip penambahan penyertaan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira nisbah perwakilan.
“Penambahan Ahli Parlimen itu wewenang SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), maknanya mungkin ada penambahan juga dari Semenanjung, penambahan dari Sabah dan Sarawak.
“Tetapi penambahan ini tidak boleh menjejaskan prinsip nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak itu harus lebih tinggi daripada yang ada sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Anwar berkata, ketika pembentukan Malaysia pada 1963 yang turut melibatkan Singapura, perwakilan Singapura, Sabah dan Sarawak adalah satu pertiga, namun nisbah berkenaan kini telah berkurangan.
Justeru katanya, keputusan kerajaan adalah untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak.
“Keputusan kita ialah mesti menambah nisbah Sabah, Sarawak. Kemudian tentunya wakil-wakil Sabah, Sarawak akan berunding bersama dengan parti-parti di Semenanjung.
“Penambahan itu boleh jadi mengelirukan. Tambah tidak bermakna dia mungkin hanya equalize sebagaimana yang ada.
“Jadi penambahan dengan peningkatan nisbah penyertaan Sabah dan Sarawak. Itu yang pertama yang penting,” katanya.
Mengulas sama ada peningkatan nisbah berkenaan dapat dilaksanakan sebelum pilihan raya akan datang, Anwar berkata beliau tidak dapat memastikan sama ada proses itu sempat diselesaikan.
Bagaimanapun katanya, Kabinet telah membuat keputusan berhubung perkara itu dan SPR juga sudah dimaklumkan.
“Kita dah, Kabinet dah putuskan. Saya dah maklumkan kepada SPR dan mereka akan tentu memulakan rundingan.
“Saya fikir kalau untuk election ini saya tak pasti boleh sempat atau tidak. Sebab kena ada muafakat, kemudian ada proses. Saya tidak mahu ganggu dari segi proses Perlembagaan.
“Tetapi yang penting keputusan dibuat dan SPR telah dimaklumkan,” katanya.
Ketika ini, Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi Parlimen dengan Sabah diperuntukkan 25 kerusi manakala Sarawak 31 kerusi.
Jumlah itu menjadikan Sabah dan Sarawak secara keseluruhan mempunyai 56 kerusi atau kira-kira 25.23 peratus daripada keseluruhan keanggotaan Dewan Rakyat.






