KOTA KINABALU: Seorang wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan, ditahan polis selepas mengemukakan satu soalan pada sebuah forum berkaitan Gaza yang dilihat cuba menyamakan kedudukan sesuatu bangsa di Malaysia dengan kematian dan penderitaan rakyat Palestin, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, Tan dibebaskan selepas keterangannya dirakam, manakala telefon bimbitnya dirampas bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Kes berkenaan berpunca daripada soalan Tan pada forum bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors” yang menampilkan ahli politik United Kingdom, George Galloway pada Isnin.
Soalan tersebut mencetuskan kecaman meluas kerana dianggap sensitif dan tidak wajar, khususnya apabila dikaitkan dengan isu perkauman di Malaysia.
Tan kemudiannya mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka dan meletakkan jawatan daripada FMT.
Dalam kenyataannya, beliau mengakui soalan itu dirangka dengan lemah, tidak relevan dan menyentuh isu perkauman secara tidak perlu. Beliau menegaskan tidak berniat memprovokasi mana-mana komuniti dan tidak bermaksud menyamakan keadaan di Malaysia dengan konflik Palestin.
Majlis Media Malaysia (MMM) dalam satu kenyataan menyuarakan kebimbangan terhadap penahanan Tan, menyifatkannya sebagai tidak perlu dan bersifat menghukum memandangkan beliau telah memohon maaf, meletak jawatan dan memberi kerjasama penuh kepada polis.
Menurut majlis itu, tindakan sedemikian boleh memberi kesan menakutkan kepada pengamal media dan mencemarkan komitmen kerajaan terhadap kebebasan akhbar.
Sementara itu, seorang wartawan kanan di Sabah berpandangan bahawa Tan tidak salah untuk bertanya soalan dalam konteks kewartawanan, namun mengakui cara soalan itu dirangka adalah satu kesilapan besar.
Sumber tersebut berkata menyamakan mana-mana bangsa di Malaysia dengan pembunuhan dan penderitaan rakyat Palestin adalah tidak tepat dan tidak wajar, walaupun niat sebenar boleh diperdebatkan.
Menurutnya lagi, Tan tidak sepatutnya meletak jawatan, sebaliknya menunggu sehingga dibuang kerja dan kemudian menyaman syarikat media tersebut. Beliau berpendapat bahawa soalan yang ditanya seorang wartawan tidak seharusnya menjadi alasan untuk dibuang kerja.
Pengamal media dengan gelaran kehormat itu juga memberi pandangan bahawa pemilik syarikat tersebut secara langsung terlibat dalam politik, dan langkah pampasan itu dipercayai bertujuan untuk meredakan suasana dengan cepat.






