PUTRAJAYA, SELANGOR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) membentangkan cadangan inisiatif Belanjawan 2025 kepada Kementerian Kewangan, di pejabat kementerian itu, di sini, semalam.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, cadangan-cadangan inisiatif yang dibentangkan itu mengambilkira input daripada pelbagai pihak termasuk agensi-agensi KUSKOP.
“Kita membentangkan semua cadangan inisiatif yang diterima daripada bahagian dan agensi di bawah KUSKOP serta dialog belanjawan yang telah diadakan di Kuala Lumpur (bagi wilayah Semenanjung) dan di Sabah (bagi wilayah Borneo), libat urus khas dengan pimpinan persatuan penjaja negeri-negeri dan pandangan daripada Exco-Exco Keusahawanan Kerajaan-Kerajaan Negeri semasa mesyuarat Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional (MPKN) yang saya pengerusikan pada minggu lepas.
“Saya ucap terima kasih kepada Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah dan pasukan beliau di atas sesi libat urus ini.
“Mudah-mudahan Belanjawan 2025 dapat memacu penyertaan, prestasi dan sumbangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan gerakan koperasi kepada kemajuan negara,” katanya dalam kenyataan media, selepas Sesi Libat Urus Inisiatif Belanjawan 2025 bersama Kementerian Kewangan, semalam.
Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ramanan Ramakrishnan dan Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Suriani Ahmad.