Kerajaan Iktiraf Peranan, Sumbangan PUSPANITA

Kerajaan Iktiraf Peranan, Sumbangan PUSPANITA

0
SHARE
Safar
Muhammad (dua dari kanan) menerima anugerah khas dari Safar (dua dari kiri) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan mengiktiraf peranan dan sumbangan yang dilakukan oleh Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) Cawangan Sabah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong berkata ahli-ahli PUSPANITA yang juga penjawat awam dan isteri penjawat awam berupaya membantu Kerajaan dalam usaha meningkatkan kesedaran rakyat terhadap dasar-dasar serta program bantuan Kerajaan di peringkat akar umbi.

“PUSPANITA turut bertanggungjawab merealisasikan agenda Malaysia Madani dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dengan menyebarluaskan program-program pembangunan negeri dengan mengadakan lebih banyak program turun padang bersama rakyat dan menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain.

“Oleh itu, sebanyak 29 cawangan PUSPANITA Sabah perlu lebih inklusif dengan melakukan kolaborasi aktif dengan PUSPANITA Negeri dan tidak tertumpu di peringkat cawangan sahaja serta merangka pelan strategik masing-masing berdasarkan kepada garis panduan di peringkat Kebangsaan” katanya.

Safar yang juga Penasihat PUSPANITA Cawangan Sabah memaklumkan kuota 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan telah dilaksanakan dalam perkhidmatan awam negeri Sabah selaras dengan dasar yang diperkenalkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-9.

Selain itu, Safar turut memaklumkan pada tahun 2020, PUSPANITA Cawangan Sabah bergerak di atas paksi akronim 5K iaitu kelibatnya kelihatan, kerjanya mempamer institusi, kewangan berimpak tinggi, kecemerlangan terserlah dan kemilikan hak eksklusif wanita.

“Program-program yang telah dilaksanakan oleh PUSPANITA juga memenuhi 5K serta memenuhi objektif utama penubuhan PUSPANITA bagi merapatkan perhubungan muhibah dan menyatupadukan isteri-isteri dan anggota wanita Perkhidmatan Awam di semua peringkat.

“Ahli-ahli PUSPANITA juga perlu berusaha mempertingkatkan ilmu dan keupayaan diri di samping terus berperanan secara aktif menggembleng potensi diri bagi manfaat keluarga, masyarakat dan pembangunan Negeri Sabah khususnya dan negara pada keseluruhannya,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-41 PUSPANITA Cawangan Sabah yang diadakan di sini. — JABATAN PENERANGAN SABAH