RM16 Bilion Ialah Peruntukan Keseluruhan Untuk Sabah – PM

RM16 Bilion Ialah Peruntukan Keseluruhan Untuk Sabah – PM

0
SHARE
Anwar
Anwar sekitar Majlis Himpunan Perdana Rakyat ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan bahawa RM16 billion diumumkannya untuk Sabah pada Pesta Kaamatan 31 Mei lalu ialah peruntukan keseluruhan untuk negeri itu bagi tahun ini, dan bukan hanya untuk pembangunan sahaja.

Memetik sumber Bernama, beliau berkata jumlah itu adalah untuk perbelanjaan pelbagai perkara antaranya sekolah, pendidikan untuk anak-anak, menjaga sempadan bagi keselamatan rakyat dan pembangunan negeri.

Justeru, katanya dakwaan kononnya beliau menipu tentang peruntukan itu tidak benar sama sekali dan menasihatkan kepada semua pihak terutama pemimpin yang dianggapnya sebagai kawan, supaya mendapatkan maklumat yang sahih atau terus bertanya kepadanya sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Tidak hanya RM6.6 billion sahaja (peruntukan untuk Sabah seperti didakwa), kerana RM6.6 billion itu hanya peruntukan pembangunan…siapa nak bayar guru, siapa nak baiki jalan dan jaga sempadan… itu semua termasuk dalam RM16 billion. Ada yang kata letak (nombor) satu di depan jadilah RM16 billion, jangan begitu.

“Kalau mahu jadi kawan, perangai macam kawan. Mesti ada adab sebagai kawan. Tidak perlu cakap terima kasih kepada kita, hanya hargailah sikit. Kalau tidak cukup kita runding, minta lagi secara baik sebagai kawan itu tiada masalah,” katanya berucap pada Konvensyen Keadilan Sabah di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah, Pengerusi Pakatan Harapan Sabah Datuk Christina Liew, Pengerusi Barisan Nasional Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Majlis itu turut dihadiri Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu Datuk Ewon Benedick, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Datuk Arthur Joseph Kurup, dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud.

Pada 31 Mei, ketika berucap menutup Pesta Kaamatan 2024 di Penampang dekat sini, Anwar memaklumkan sejak menjadi Perdana Menteri beliau sentiasa berusaha meningkatkan peruntukan untuk Sabah bagi membantu rakyatnya, iaitu daripada RM12.9 billion pada 2022 kepada RM16 billion tahun ini.

Anwar berkata tahun lalu pula kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan RM13.9 billion kepada negeri itu, sekali gus membuktikan komitmennya itu hasil kerjasama erat dengan Hajiji, kerajaan negeri dan rakan Kerajaan Perpaduan lain.

“Saya simpati terutama kesesakan sekolah, rakyat tiada peluang berniaga, anak muda tiada pekerjaan …kita berjuang dari bawah bukan dari kayangan, sampai ke pelusuk kawasan kita nak selesaikan. Setiap kali saya lihat media sosial, ada berita anak muda panjat pokok dapatkan connectivity (Internet),” katanya.