KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak agar projek Pan Borneo di negeri ini segera disiapkan bagi memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya.
Tegasnya, projek itu perlu segera disiapkan tanpa berlengah dan banyak alasan memandangkan projek yang sama di Sarawak sudah hampir siap.
“Untuk Pan Borneo Sarawak, hampir siap, Sabah masih terkontang-kanting lagi. Jadi sudah dipersetujui dengan kerajaan negeri Sabah untuk buat secepat mungkin.
“Saya beritahu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bahawa saya tidak akan masuk campur.
“Saya mahu cepat supaya rakyat Sabah lihat ada projek puluhan bilion ringgit ini dan memiliki lebuh raya terpanjang di Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Himpunan Perdana Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Anwar sekali lagi menekankan agar projek tersebut tidak tertangguh seperti kes kekurangan bekalan air di Universiti Malaysia Sabah selain meminta pihak terlibat bekerjasama dalam usaha menyiapkan projek tersebut.
“Kalau tidak cukup wang bagi kita tahu, kalau sikit, kita boleh tambah,” ujarnya.






