
PENAMPANG, SABAH – Usaha kerjasama antara kumpulan Rumapau, Persatuan Hakka Penampang dan Pelajar Sekolah Menengah kawasan Penampang dengan sokongan Pejabat ADUN Kapayan bertujuan untuk mengindahkan dan mempromosikan apresiasi budaya melalui seni.
Rumapau yang terkenal dengan bakat dan kreativiti mereka dalam seni mural akan membawa kepakaran mereka untuk projek ini.
Terdiri daripada artis berkemahiran dari latar belakang yang berbeza, mereka telah terlibat dalam pelbagai inisiatif seni komuniti yang berjaya pada masa lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang berkata Persatuan Hakka Penampang mengiktiraf kepentingan mempromosikan tradisi dan budaya tempatan melalui cara artistik.
“Dengan bekerjasama dengan sekolah menengah di kawasan Penampang, mereka berhasrat untuk mencipta mural yang mencerminkan warisan yang kaya dan semangat hidup kawasan Donggongon.
“Seni mural tempatan boleh menjadi simbol, mesej atau idea tertentu yang boleh mengambarkan sesebuah komuniti dan mempengaruhi berbagai lapisan masyarakat.
“Rumapau akan melukis bangunan Blok C dan dinding bangunan Megalong Mall yang akan dijangka siap selepas empat minggu,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Jelasnya, mural yang akan diterapkan di bangunan Blok C adalah bertemakan “Nature and Animal of Borneo” dan bahagian dinding bangunan Megalong Mall pula bertemakan “Preserve our Culture and Tradition” yang mendapat ilham daripada Bobohizan di mana menurut kepercayaan ia adalah penjaga masyarakat dan persekitaran sekeliling.
“Saya sangat teruja untuk memulakan sesuatu projek yang bermanfaat seperti ini, melihat lukisan-lukisan cantik di tempat lain saya tertarik untuk melakukannya di kawasan Donggongon.
“Saya percaya usaha ini akan menarik lebih ramai pengunjung dari luar dan menggalakkan rasa bangga dan perpaduan dikalangan komuniti kawasan tersebut.
“Selain program ini, pejabat saya juga telah berkolaborasi dengan Persatuan Hakka Penampang bagi melaksanakan program mencantikkan Donggongon yang akan dilakukuan pada Ahad (19 Nov),” tambahnya.
Seramai 60 orang sukarelawan akan terlibat yang terdiri daripada Persatuan Hakka Penampang, pelajar sekolah dan guru daripada SMK Bahang, SMK St Michael, SMK Datu Peter Mojuntin dan SMK Limbanak akan bersama-sama mengecat bangku dan simen konkrit yang ada di sepanjang tempat berehat di antara bangunan kedai.
Beliau berkata banyak kawasan yang berpotensi untuk dicantikkan tetapi memilih untuk menceriakan Donggongon bagi menambah rasa keterujaan pengunjung memandangkan Penampang akan digelar sebagai bandar mulai tahun depan.
“Saya harap ramai lagi artis dan penderma akan menyumbang dalam mencantikan bandar kita sehingga ia setaraf seperti Penang, Melaka dan Kuala Lumpur,” katanya.