SAFA Terima Tajaan Bernilai RM500,000 Dari redONE

SAFA Terima Tajaan Bernilai RM500,000 Dari redONE

0
SHARE
Goh (dua dari kanan) menyerahkan tajaan kepada Bung Moktar (tiga dari kanan), sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif SAFA, Firdaus Akbar Khan (empat dari kanan), timbalan presiden SAFA, Datuk Jelani (kanan), Farid (kiri) dan Ben (dua kiri)...

KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) telah menerima tajaan bernilai RM500,000 daripada penaja utamanya Red One Holding Bhd (redONE).

Penajaan itu diserahkan oleh Pengerusi redONE, Tan Sri T.C Goh semasa majlis makan malam kutipan dana anjuran SAFA, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.

Goh berharap tajaan tersebut akan membantu meningkatkan prestasi pasukan bola sepak Sabah dan akhirnya mengembalikan zaman kegemilangannya.

Goh yang juga Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS) serta penyokong tegar pasukan bola sepak Sabah merupakan salah seorang penyumbang utama yang membawa kepada kemenangan Piala Malaysia pada tahun 1994.

Beliau juga pernah dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) SAFA pada 2017 semasa Ketua Menteri ketika itu, Tan Sri Musa Hj Aman menjadi Presiden.

Goh turut memudahkan pengambilan bekas penyerang Liverpool, El Hadji Ousseynou Diouf untuk bermain untuk SAFA, yang menjadi topik popular arena bola sepak ketika itu.

Goh yang telah menyokong SAFA dan bola sepak Sabah selama ini sekali lagi membantu SAFA dengan penajaan tersebut, atas kapasitinya sebagai Pengerusi redONE dan langkah tersebut turut difasilitasi oleh ketua pegawai operasi redONE, Ben Teh, dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Farid Yunus.

Ketika menerima tajaan bagi pihak SAFA, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Presiden SAFA, mengucapkan terima kasih kepada redONE kerana tampil menyokong SAFA.

Beliau juga berharap semua pihak yang terlibat dapat berusaha untuk membantu meningkatkan prestasi pasukan bola sepak Sabah.