KOTA KINABALU: Pengundi Luyang tidak terjejas dengan kenyataan “Gardenia” oleh ADUN PAS Kedah, sebaliknya lebih menuntut wakil rakyat yang mampu menyelesaikan isu setempat, dakwa Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong.
Menurutnya, masalah asas seperti banjir di Kepayan Ridge dan Taman Dixon, ekonomi lemah bagi penjaja serta kesesakan trafik masih berlarutan walaupun kerusi itu dipegang DAP sejak 2018.
“Semua ini di bawah kerajaan negeri yang bekerjasama dengan pusat. Ramai penduduk beritahu mereka mahukan perubahan,” katanya pada sidang media, Selasa.
Beliau menggesa pengundi Luyang Untuk “berani berubah” sambil menegaskan Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu akan tetap mendapat sokongan Persekutuan.
Pengerusi Gerakan Sabah Datuk Alexander Lo pula berkata ADUN Luyang telah mengalihkan tanggungjawab kepada setiausaha politiknya mungkin kerana gagal menyelesaikan isu lama.
“Manifesto mereka pun diulang dari lima tahun lepas ini memberi isyarat penyelesaian mereka sementara saja,” katanya.
Mengulas sentimen pro-parti tempatan, Lo memberi analogi mudah.
“Kalau makan KFC di sini dan kena keracunan makanan, salah Amerika atau tukang masak tempatan? Masalah sebenar ialah wakil yang korup, bukan parti,” katanya.
Sidang media itu turut memperkenalkan calon Gerakan bagi Luyang, William Ooi Hong Yee.
Beliau berkata tumpuannya ialah mengangkat semula pelancongan dan makanan tempatan, membantu peniaga kecil serta membaiki kemudahan awam.
“Kebersihan masih merosot walaupun banyak aduan, dan kawasan ini masih tidak cukup selamat atau terang waktu malam,” katanya.
SPR merekodkan 35,252 pengundi berdaftar di Luyang sehingga Oktober 2025, dengan Foh Sang mencatat jumlah tertinggi iaitu 6,259 pengundi.






