DAP: Justin Wong dan Shafie Apdal Bercanggah, Tolak Parti Oportunis 

DAP: Justin Wong dan Shafie Apdal Bercanggah, Tolak Parti Oportunis 

0
SHARE

TAWAU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DU Sri Tanjong, Philip Yap Wui Lip, mengutuk keras kenyataan calon Warisan Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin.

Beliau menyifatkan kenyataan Wong bukan sahaja bercanggah dengan pendirian Presiden partinya, Datuk Seri Shafie Apdal, malah mendedahkan sikap oportunis parti tersebut yang tidak berpendirian tetap.

Dalam kenyataan, Yap berkata apabila isu sampah di Semporna terdedah, Shafie segera menuding jari kepada Kerajaan Persekutuan dan menegaskan bahawa Kerajaan Pusat dan Sabah “mesti bekerjasama”. 

“Namun, kenyataan terbaru Wong pula menegaskan bahawa pembangunan boleh dicapai walaupun Kerajaan Pusat dan Sabah tidak sehaluan, malah mendakwa Sabah mampu menjadi negeri contoh tanpa bergantung kepada Kerajaan Pusat,” katanya

Beliau menegaskan, naratif itu mendedahkan wajah sebenar Warisan yang sanggup memutar belit naratif pada bila-bila masa demi meraih undi.

Rakyat Sabah, katanya, mahukan kestabilan dasar dan tadbir urus yang nyata, bukannya drama politik yang tidak berprinsip.

Yap menambah, Warisan bertindak menuding jari apabila perlu menutup kelemahan, tetapi mencetuskan perpecahan dan konfrontasi apabila mahu meraih undi.

“Mereka memanipulasi dan menghasut emosi rakyat, justeru tidak layak mendapat sokongan rakyat.

“Parti yang tidak mampu menguruskan sampah setempat pun, apa kelayakannya bercakap tentang masa depan Sabah?

“Pembangunan Sabah memerlukan kerjasama erat dengan Kerajaan Pusat untuk perancangan bersama, bukannya parti yang menukar naratif setiap hari, asyik melepaskan tangan, dan gagal memikul tanggungjawab,” katanya.