Persatuan Undang-Undang Sabah Anjur Sesi Town Hall Isu Hak Hasil 40 Peratus

Persatuan Undang-Undang Sabah Anjur Sesi Town Hall Isu Hak Hasil 40 Peratus

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) akan menganjurkan satu sesi Town Hall bagi memberi taklimat kepada orang awam berhubung perkembangan terkini mengenai hak perlembagaan Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan, susulan keputusan penting Mahkamah Tinggi pada Oktober 2025.

Sesi itu akan menumpukan kepada status semasa tempoh 90 hari dan 180 hari yang timbul daripada perintah mahkamah, kemajuan proses semakan Artikel 112D, serta implikasi undang-undang dan perlembagaan yang lebih luas terhadap Sabah pada masa hadapan.

Presiden SLS, Datuk Mohamed Nazim Maduarin berkata sesi tersebut bertujuan memberi penjelasan dan maklumat tepat mengenai perkara yang mempunyai kepentingan perlembagaan besar kepada negeri dan rakyat Sabah.

“Sesi ini diadakan untuk memberikan kejelasan, perkembangan fakta dan ruang perbincangan bermaklumat mengenai isu yang amat penting kepada kedudukan perlembagaan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Town Hall berkenaan akan diadakan pada 28 Februari ini, jam 10 pagi di Pejabat Sekretariat Sabah Law Society.

Orang awam yang berminat untuk menghadiri sesi itu diminta menghubungi sekretariat SLS lebih awal untuk pendaftaran kerana tempat duduk adalah terhad.

Menurut beliau, SLS kekal komited terhadap ketelusan, penglibatan awam dan kedaulatan undang-undang dalam usaha melindungi hak perlembagaan serta masa depan fiskal Sabah.