Anak Jati Sabah, Viviantie Sarjuni, Harumkan Nama Malaysia di Pentas Antarabangsa

Anak Jati Sabah, Viviantie Sarjuni, Harumkan Nama Malaysia di Pentas Antarabangsa

0
SHARE
Viviantie Sarjuni...

PUTRAJAYA – Anak Sabah, Puan Viviantie Sarjuni, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), mencipta sejarah apabila dianugerahkan Anugerah Public Social Innovator Tahun 2026 bagi Keusahawanan Sosial oleh Schwab Foundation bersama World Economic Forum (WEF).

Beliau menerima pengiktirafan itu di Switzerland pada 21 Januari 2026 sempena Mesyuarat Tahunan World Economic Forum di Davos, menjadikan Viviantie rakyat Malaysia pertama menerima anugerah berprestij ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, menyifatkan pencapaian ini sebagai satu kebanggaan negara.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Puan Viviantie Sarjuni atas kejayaan yang amat membanggakan ini. Beliau bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia, malah anak Sabah ini telah menunjukkan bahawa bakat tempatan mampu bersaing di peringkat global,” katanya.

Sepanjang berada di Davos, Viviantie turut menyertai bengkel dan sesi libat urus antarabangsa yang menghimpunkan pemimpin serta inovator sosial dari seluruh dunia.

“Ilmu dan pengalaman yang diperoleh akan dibawa pulang untuk memperkukuh agenda pembangunan keusahawanan di Malaysia, khususnya melalui pelaksanaan program strategik INSKEN di bawah KUSKOP,” tambah Steven.

“Pencapaian ini mencerminkan kepimpinan, dedikasi, dan komitmen tinggi beliau dalam memperkasa keusahawanan sosial dan pembangunan ekonomi yang inklusif serta mampan.

“Saya yakin pengiktirafan ini akan terus memberi nilai tambah kepada ekosistem keusahawanan negara, terutamanya bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS),” katanya.