PUTATAN: Penerimaan masyarakat terhadap kempen Calon GRS bagi DUN N.24 Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, terus menunjukkan nada positif terutama melalui program ziarah komuniti dan walkabout yang dilaksanakan secara konsisten.
Shah Alfie berkata pendekatan holistik itu bukan sekadar menjadi medium menyampaikan aspirasi, tetapi juga ruang untuk beliau memahami keperluan sebenar penduduk setempat khususnya golongan belia yang merangkumi sekitar 60 peratus pengundi kawasan itu.
“Sebagai calon muda yang diketengahkan GRS, kami membawa pendekatan kolektif pucuk pimpinan terus ke akar umbi.
“Program turun padang seperti ini sangat serasi dengan kehendak pengundi, lebih-lebih lagi dalam konteks Tanjung Keramat,” katanya selepas walkabout di sekitar Pekan Putatan dan Dataran Pomoi, Selasa.
Hadir sama Ketua Bahagian PGRS Tanjung Keramat, Ir Ummar Ariff Abu Bakar bersama jentera GRS kawasan.
Menurut Shah Alfie, maklum balas yang diterima sepanjang program itu amat memberangsangkan, termasuk daripada peniaga dan penjaja yang ditemui.
“Program ini satu inisiatif sihat mendekati pengundi. Syukur kerana respons positif, dan kami dapat bersuai kenal dengan lebih mendalam.
“Antara perkara yang mereka bangkitkan termasuk isu ekonomi, dan itu selari dengan aspirasi saya untuk memperkasa aktiviti ekonomi belia serta masyarakat di DUN Tanjung Keramat,” katanya.






