Dasar Biojisim Sabah Dalam Perangkaan – Phoong

Dasar Biojisim Sabah Dalam Perangkaan – Phoong

0
SHARE
Phoong
Menteri MIDE, Phoong Jin Zhe ( Sumber Foto: Laman media sosial Facebook Menteri MIDE )

KOTA KINABALU, SABAH – Dasar Biojisim Sabah sedang dirangka oleh Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) negeri bagi memajukan lagi industri itu.

Menteri MIDE, Phoong Jin Zhe berkata, hasil biojisim seperti pallet, bahan api dan kimia berasaskan bio mempunyai nilai tambah yang tinggi.

“Kerajaan negeri bercadang untuk membangunkan pusat pengumpulan biojisim dan melantik syarikat berkaitan kerajaan untuk mengurus bekalan bahan biojisim yang konsisten sekaligus menarik minat pelabur.

“Kami juga bercadang untuk mewujudkan enakmen yang berkaitan supaya kuasa kawal selia akan berada di bawah kerajaan negeri,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Rabu.

Phoong menjawab pertanyaan Dr Daud Yusof ( Bongawan – WARISAN) tentang faedah tenaga hijau berkenaan industri kelapa sawit.

“Penjelajahan biojisim mempunyai pelbagai potensi terutamanya dalam sektor tenaga hijau atau tenaga boleh diperbaharui dan industri hiliran berkaitan.

“Kebanyakan negara kini sedang melakukan peralihan atau menyesuaikan diri dengan konsep teknologi hijau untuk meningkatkan alam sekitar dan kualiti hidup.

“Namun, penangkapan dan pengangkutan biogas itu sukar dilaksanakan memandangkan punca bekalan selalunya terletak di ladang atau kilang kelapa sawit.

“Pada masa ini kaedah penjanaan tenaga melalui biogas yang terhasil adalah untuk kegunaan kilang sendiri sahaja,” tambahnya.

Biogas dihasilkan secara semula jadi apabila efluen kilang kelapa sawit (POME) diuraikan secara organik. Biogas ini boleh digunakan dalam penjanaan tenaga kerana sifat kimianya yang mudah terbakar.

Phoong berkata bahawa POME lebih bersih kerana ia menghasilkan jumlah sulfur dan zarah yang lebih rendah serta bebas daripada asap berbahaya.