Papar Tuan Rumah Pesta Kaamatan 2026

Papar Tuan Rumah Pesta Kaamatan 2026

0
SHARE

KOTA KINABALU: Daerah Papar dipilih sebagai tuan rumah Pelancaran Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 yang dijadual berlangsung pada 1 Mei 2026.

Keputusan itu dimaklumkan semasa Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Perayaan Kaamatan Negeri Sabah 2026 yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, di Bilik Mesyuarat KKRU Sabah Pada Selasa.

Mesyuarat membincangkan persiapan awal serta perancangan bagi penganjuran perayaan tahunan yang disambut sepanjang bulan Mei.

Turut hadir Pembantu Menteri, Datuk Limus Jury, Setiausaha Tetap KKRU Sabah, Datuk Ridhwan Roger Linus, Setiausaha Agung KDCA, Datuk Suman Yasambun, Bendahari KDCA, Datuk Joseph Paulus Lantip, pegawai daerah, ketua jabatan serta ahli jawatankuasa penganjur.

Joachim berkata, Pesta Kaamatan merupakan platform penting untuk memelihara warisan budaya Sabah serta mengukuhkan perpaduan dan semangat komuniti rakyat negeri ini.

Katanya, perayaan itu bukan sahaja meraikan hasil tuaian, malah menjadi simbol keharmonian serta kekayaan budaya masyarakat Sabah yang terus dipertahankan dari generasi ke generasi.