Portfolio Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dijangka Percepat Pelaksanaan MA63 – Shahelmey

Portfolio Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dijangka Percepat Pelaksanaan MA63 – Shahelmey

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pewujudan semula portfolio khusus bagi hal ehwal Sabah dan Sarawak dijangka memberi kesan positif terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Beliau berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) yang kini dipimpin wakil rakyat dari Sabah diharap dapat mempercepat usaha memuktamadkan tuntutan MA63 secara lebih tersusun.

“Kewujudan semula portfolio yang bertanggungjawab secara khusus terhadap hal ehwal Sabah dan Sarawak dijangka memberi impak positif kepada pelaksanaan MA63,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Shahelmey turut berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 berkaitan Pemberian Khas Negeri Sabah wajar dijadikan asas untuk menetapkan kadar tetap sumbangan tersebut.

Selain MA63, beliau membangkitkan isu keciciran pendidikan di bawah Dasar Pendidikan Negara 2035 serta kelewatan projek pembangunan Persekutuan di Sabah, dan meminta kementerian berkaitan memperincikan tempoh serta status pelaksanaannya.