Polis Tahan Pengedar Dadah Selepas Tidak Sengaja Hubungi Panggilan Kecemasan Ketika Tidur

Polis Tahan Pengedar Dadah Selepas Tidak Sengaja Hubungi Panggilan Kecemasan Ketika Tidur

0
SHARE

WALDBROL, JERMAN – Tidak sengaja menghubungi talian kecemasan selepas tertidur telah mengundang kepada penahanan seorang lelaki pengedar dadah di sini, pada Sabtu baru-baru ini.

Difahamkan, operator di pusat panggilan kecemasan yang menerima panggilan daripada lelaki yang berusia 23 tahun itu yang merupakan seorang pengedar dadah kira-kira jam 1 pagi Sabtu lalu.

Daily Mail melaporkan bahawa operator tersebut memaklumkan dia hanya dapat mendengar bunyi dengkuran dan rintihannya sahaja pada ketika panggilan itu dibuat.

Susulan daripada itu, sepasukan polis dikejarkan ke lokasi kejadian, bandar Waldbrol, kira-kira 30 batu dari Cologne.

Setibanya di lokasi, pintu rumah dibuka oleh rakan suspek berusia 21 tahun yang terkejut melihat kehadiran beberapa anggota polis.

Dalam masa yang sama, bau ganja yang kuat turut menarik perhatian pasukan keselamatan berkenaan.

Pemeriksaan mendapati, suspek utama sedang tidur di sofa dan apabila dikejutkan dia langsung tidak tahu mengapa polis berada di hadapannya. Dia juga menegaskan dia tidak membuat sebarang panggilan kecemasan sehingga dia memeriksa rekod panggilan di telefon bimbit dan mendapati dia sebenarnya dengan tidak sengaja telah menghubungi nombor kecemasan beberapa kali.

Polis turut menggeledah rumah tersebut dan mendapati bukan hanya ganja yang ditemui, malah terdapat sejumlah dadah serta peralatan berkaitan yang lain seperti pil ekstasi, kokain, amfetamin, alat penimbang dan wang tunai.

“Ini bukan jumlah yang sedikit, kedua-dua suspek ditahan kerana disyaki mengedar dadah,” kata Jurucakap Polis Waldbrol.

Semakan rekod mendapati, dua suspek terbabit pernah ditahan kerana terbabit dalam jenayah pengedaran dadah dan kini berdepan dengan tindakan undang-undang.