KOTA KINABALU: Seramai 114 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di daerah Tawau, Lahad Datu dan Sandakan baru-baru ini.
Operasi yang dijalankan menerusi Ops Bersepadu, Ops Sapu, Ops Mahir, Ops Kutip, Ops Belanja dan Ops Jaja itu melibatkan pemeriksaan terhadap seramai 258 individu di ketiga-tiga daerah berkenaan.
JIM Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, daripada jumlah tersebut, seramai 114 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta melanggar syarat pas imigresen.
“Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara sentiasa dipelihara,” menurut kenyataan itu yang dimuat naik di Facebook rasmi JIM Sabah pada Jumaat.
Di Tawau, operasi yang dijalankan telah memeriksa seramai 108 individu dan membawa kepada penahanan 61 warga asing.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 54 warga Filipina melibatkan 53 lelaki dewasa dan seorang perempuan dewasa, seorang lelaki warga Pakistan serta enam warga Indonesia melibatkan dua lelaki dewasa dan empat perempuan dewasa.
Sementara itu di Lahad Datu, seramai 86 individu telah diperiksa dengan 35 warga asing ditahan.
Tangkapan melibatkan 22 warga Filipina terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, enam perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.
Turut ditahan ialah 13 warga Indonesia melibatkan tiga lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.
Di Sandakan pula, operasi penguatkuasaan yang dijalankan telah memeriksa seramai 64 individu dan menahan 18 warga asing.
Mereka terdiri daripada 17 warga Filipina melibatkan sembilan lelaki dewasa dan lapan perempuan dewasa, serta seorang perempuan warga Indonesia.
Menurut JIM Sabah, semua individu yang ditahan telah dibawa ke depot imigresen untuk tindakan lanjut dan siasatan mengikut peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.
Jabatan itu turut menegaskan komitmennya untuk meneruskan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini serta memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.






