KOTA KINABALU, SABAH – Jualan tiket penerbangan ke ibu kota Sabah adalah yang tertinggi untuk syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS).
Perkara itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Kapten Izham Ismail, berdasarkan hasil jualan Matta Fair yang diadakan baru-baru ini.
Katanya pengumuman kerajaan negeri bahawa individu yang telah lengkap divaksin dibenarkan masuk ke Sabah tanpa perlu membuat ujian calitan (swab test) COVID-19 bermula Disember adalah salah sebuah faktor dalam kelarisan.
“Sabah terus menjadi hab penting bagi kami dan MAS telahpun meningkatkan kekerapan penerbangan ke Kota Kinabalu dari 68 kepada 75 penerbangan seminggu untuk bulan November dan Disember tahun ini…
“Penerbangan terus antara Pulau Pinang dan Kota Kinabalu juga akan bermula semula pada Disember 1 bulan hadapan mengikut permintaan ramai.
“Dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa yang dijangka pada tahun hadapan, MAS bersedia untuk membawa pelancong dari serantau dunia ke Sabah,” katanya kepada wakil rombongan negeri di Akademi Malaysian Airlines Berhad di Selangor pada Isnin.

Rombongan itu terdiri daripada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Datuk Jafry Ariffin; Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai; Ketua Pegawai Eksekutif STB, Noredah Othman; dan Ketua Pegawai Pemasaran STB, Tay Shu Lan.

Mengulas lanjut, Jafry berkata peningkatan dalam jual beli tiket penerbangan ke Sabah itu satu pentanda positif bahawa sektor pelancongan mula kembali rancak dengan menarik perhatian pengunjung tempatan.
“KePKAS dan STB sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan MAS dalam menghidupkan semula penerbangan keluar masuk Sabah…
“Ia adalah harapan kami untuk melihat peningkatan dalam pelancong ke negeri ini setelah sekian lama dan perkara ini mustahil tanpa bantuan dari syarikat-syarikat penerbangan,” katanya.
Pada Jumaat lalu, rombongan STB yang diketuai Joniston telah bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat, berhubung rancangan syarikat penerbangan kos rendah itu untuk Sabah.

Menurut Joniston, mesyuarat itu “membuahkan hasil” dan pihaknya sekarang sedang mengatur perjumpaan dengan pengurusan syarikat Malindo Air pula bagi langkah seterusnya.





