KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus mengiktiraf perasan penting pengamal media sebagai rakan kongsi strategik dalam menyampaikan dasar serta kejayaan pembangunan kerajaan kepada rakyat, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, penghargaan itu diterjemahkan menerusi peningkatan sumbangan tajaan kerajaan negeri kepada penganjuran Kinabalu Press Awards (KPA), daripada RM100,000 pada tahun 2024 kepada RM110,000 sejak tahun 2025.
Menurutnya, peningkatan tajaan tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menghargai sumbangan wartawan serta menyokong usaha memperkasakan kecemerlangan industri media di Sabah.
“Kerajaan negeri sentiasa menghargai dan mengiktiraf sumbangan wartawan sekali gus menyokong segala usaha untuk kecemerlangan pengamal media di negeri ini.
“Oleh itu, kerajaan negeri akan terus memberi sokongan sebagai penaja utama untuk majlis ini dan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada Kinabalu Press Awards pada tahun ini,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai, pada Majlis Kinabalu Press Awards (KPA) 2026 di Kota Kinabalu, Sabtu.
Hajiji berkata, pengamal media memainkan peranan penting dalam memastikan maklumat berkaitan dasar kerajaan, khususnya Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), dapat disampaikan secara berkesan kepada rakyat.
Katanya, sumbangan media amat terserlah ketika tempoh menjelang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sehingga berakhirnya Pilihan Raya Negeri Ke-17 apabila wartawan bertugas tanpa mengira waktu bagi memastikan laporan yang disampaikan tepat dan berintegriti.
“Saya melihat sendiri bagaimana pengamal media bekerja keras, bertugas lebih masa, mengejar berita dari pelbagai sudut dan memastikan setiap laporan yang disampaikan tepat serta berintegriti tinggi demi kepentingan rakyat.
“Mereka bekerja tanpa mengira waktu, termasuk berhujan dan berpanas bagi melaporkan setiap perkembangan semasa. Syabas dan tahniah kepada semua pengamal media atas komitmen yang ditunjukkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa dalam era penyebaran maklumat yang pantas, ketepatan dan kesahihan fakta tidak boleh dikompromi.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengamal media agar terus melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, berlandaskan prinsip kewartawanan yang profesional, beretika dan bertanggungjawab.
“Pengamal media perlu sentiasa melaporkan berita yang tepat, telus dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat palsu demi memastikan masyarakat menerima maklumat yang sahih dan dipercayai,” katanya.






