Jalan Raya Bertingkat Bagi Mengatasi Kesesakan Keningau – Jeffrey

Jalan Raya Bertingkat Bagi Mengatasi Kesesakan Keningau – Jeffrey

0
SHARE

KENINGAU, SABAH – Projek jalanraya bertingkat merupakan antara perancangan pembangunan yang diberi keutamaan di daerah ini untuk memberi keselesaan dan meningkatkan taraf kehidupan penduduk.

Selain itu, satu lagi perancangan pembangunan yang menarik adalah pewujudan sebuah pelabuhan darat (inland port) untuk membuka laluan eksport langsung dari Keningau ke tempat lain tanpa perlu melalui bandaraya Kota Kinabalu.

Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, yang mempertahankan kerusi parlimen Keningau dalam PRU15 ini, telah berjanji akan cuba mendapatkan peruntukan untuk cadangan projek-projek pembangunan tersebut.

“Masalah yang besar bagi kita di Keningau ialah kesesakan trafik.”

“Samaada kita akan bina jalan lingkaran atau jalanraya bertingkat,” katanya dalam ucapan di majlis makan malam bersama pemimpin masyarakat Cina di sini, Isnin.

Kedua-dua cara penyelesaian dijangka akan menarik nafas lega dikalangan penduduk daerah ini yang sering terkandas didalam kesesakan trafik yang panjang terutama pada masa kemuncak.

Dr Jeffrey berkata dia juga berharap untuk mencari jalan bagaimana untuk memberikan Keningau karaktornya yang tersendiri.

“Saya befikir macam mana Keningau boleh tembus pembangunan sebab kita jauh dari laut.”

 “Jadi pada pemikiran saya kita buat ‘inland port’ (pelabuhan darat). Jadi hasil-hasil kita tidak payah mau kasi sampai ke Kota Kinabalu baru eksport. Kita mau eksport dari Keningau. Jadi kita akan cuba mengenalpasti macam mana kita boleh buat ini,” katanya.

Menurut Dr Jeffrey, Keningau mempunyai potensi besar dalam aktiviti pertanian dan mampu membuka peluang yang luas kepada penduduk untuk terlibat didalam rantaian nilai ekonomi yang berasaskan sektor tersebut dengan mewujudkan aktiviti hiliran.

Selain pertanian, dia berkata Keningau juga berpotensi tinggi didalam industri pelancongan.

Sehubungan dengan ini, dia juga melihat peluang untuk merangsang pembangunan disepanjang jalan lurus dari Apin-Apin ke pusat Bandar yang memandangkan yang jalan lurus yang amat panjang itu adalah unik bagi Keningau.

Katanya sekiranya cadangan pembangunan tersebut mampu dilaksanakan ia akan membuka peluang kepada penduduk kampung untuk berniaga.

“Kita harapkan bila Keningau menjadi lebih membangun, ia boleh dijadikan sebagai sebuah perbandaran,” katanya.

Sementara itu, beberapa pemimpin masyarakat Cina menyambut baik niat dan usaha Dr Jeffrey untuk menyelesaikan masalah kesesakan trafik di daerah itu.

Selain cadangan untuk membina jalanraya bertingkat, mereka juga mencadangkan agar jalanraya dua hala yang sedia ada diperluaskan kepada tiga lorong.

Mereka juga mencadangkan agar sistem dan perkhidmatan pengangkutan awam dipertingkatkan seperti di tempat lain antaranya di Bandar Tasik Selatan di Kuala Lumpur.

Menurut mereka ini mampu membantu mengurangkan jumlah kereta persendirian diatas jalanraya.