Pembangunan Mewah Pavilion Harbour City Bakal Buka 3,000 Peluang Pekerjaan

Pembangunan Mewah Pavilion Harbour City Bakal Buka 3,000 Peluang Pekerjaan

0
SHARE
Projek Pavilion Harbour City...

KOTA KINABALU, SABAH – Memorandum Persefahaman (MoU) projek bandar raya Pavilion Harbour City dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM2.0 bilion ditandatangani pihak Yayasan Sabah dan Pavilion Kota Kinabalu Sdn. Bhd.

Yayasan Sabah telah diwakili oleh Pengarah Yayasan Sabah merangkap Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd., Datuk Seri Haji Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar, manakala Pavilion Kota Kinabalu Sdn. Bhd. Pula diwakili oleh Pengarah Pavilion Kota Kinabalu Sdn. Bhd., Haji Jameson Pias.

Majlis tersebut disaksikan Setiausaha Korporat Yayasan Sabah, Hanafiah Diman dan Pengurus Besar Pavilion Kota Kinabalu Sdn. Bhd.,Timmy Gan Ve Li, di Sabah International Convention Centre (SICC) semalam.

Gulamhaidar berkata, pembangunan mewah tersebut meliputi kawasan atas laut seluas 30 ekar bersebelahan sempadan Timur Laut SICC dan bakal siap dalam tempoh 10 tahun.

‘Konsep Pulau’ komponen pembangunan Projek Pavilion Harbour City…

“Menyedari kepentingan kelestarian alam semula jadi, pembangunan projek tersebut akan melalui proses kelulusan sewajarnya daripada jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan…

“Projek ini bakal menggunakan pendekatan platform selaras dengan dasar pembangunan kawasan yang tidak melibatkan penambakan laut yang mana meminimakan kesan terhadap ekosistem alam sekitar.

“Dengan adanya pembangunan ini, kawasan tersebut bakal menjadi tarikan pelancong yang akan memberikan impak positif terhadap ekonomi negeri ini menerusi penarikan pelabur global,” katanya.

Projek Pavilion Harbour City merangkumi kediaman, restoran tepi laut, pasar nelayan, hotel mewah untuk penginapan, peranginan serta aktiviti rekreasi.

Menurut Gulamhaidar, ekoran daripada pembagunan itu, peluang pekerjaan rakyat Sabah bakal disediakan menerusi projek ini.

“Jumlah peluang pekerjaan ketika pembangunan dijalankan dianggarkan kira-kira 1,000 orang, manakala lebih kurang 2,000 orang akan mendapat peluang pekerjaan setelah pembangunan selesai kelak…

“Projek ini merupakan satu lagi pencapaian Yayasan Sabah dalam menyokong pembangunan hartanah pintar dan mampan di negeri Sabah,” tambah beliau.