PUTATAN: Syarikat milik penuh kerajaan negeri Sabah, SMJ Energy Sdn. Bhd., kini mencatat pencapaian luar biasa dengan nilai aset mencecah RM5 bilion dan keuntungan tahunan sebanyak RM350 juta, hasil pelaburan strategik dalam sektor tenaga sejak tiga tahun lalu.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun memaklumkan, syarikat itu ditubuhkan susulan Perjanjian Kerjasama Komersial (Commercial Collaborative Agreement) antara kerajaan negeri Sabah dan Petronas pada tiga tahun lepas, yang turut disertakan dengan suntikan dana permulaan berjumlah RM50 juta daripada kerajaan negeri.
“Daripada RM50 juta itu, kita melabur dalam syarikat-syarikat milik Petronas dan hasilnya hari ini, nilai syarikat tersebut melonjak kepada RM5 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Perasmian Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Petagas di sini, semalam.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan tersebut didorong oleh beberapa faktor utama termasuk pelantikan tenaga kerja profesional sepenuhnya serta operasi yang bebas daripada campur tangan politik.
“SMJ beroperasi 100 peratus secara komersial, di mana segala keputusan dibuat berdasarkan pertimbangan bisnes, bukan tekanan politik. Inilah kekuatan dan kelainan yang kita bawa,” ujarnya.
Tambah beliau, pendekatan pengurusan SMJ Energy juga menekankan keberkesanan kos, dengan hanya menggaji 30 orang kakitangan tetap setakat ini.
“Kita kurangkan kos tetap (recurring cost) dengan tidak mengambil pekerja tetap untuk semua keperluan. Sebaliknya, kita lebih suka ‘outsourcing’ atau guna kepakaran luar untuk projek-projek tertentu sahaja. Ini lebih cekap dan menjimatkan,” katanya.
Masidi menekankan bahawa SMJ kini menjadi model kejayaan bagaimana kerajaan negeri boleh menjana kekayaan melalui pendekatan pelaburan profesional dan pengurusan strategik, tanpa bergantung kepada struktur birokrasi tradisional.
“Itulah pendekatan kita, pendekatan pengurusan kita. Kita cuba keluar daripada kebiasaan, lebih tertumpu kepada, apa kita dapat dengan setiap ringgit yang kita laburkan,” jelasnya.






