Kecemerlangan Warga Kerja Pemacu Kejayaan Sukan dan Belia Sabah – Nizam

Kecemerlangan Warga Kerja Pemacu Kejayaan Sukan dan Belia Sabah – Nizam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kecemerlangan dan dedikasi warga kerja merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan pembangunan belia, kemajuan sukan serta pengukuhan ekonomi kreatif di Sabah, kata Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata, kejayaan yang dicapai oleh agensi di bawah kementeriannya tidak akan dapat direalisasikan tanpa komitmen tinggi, integriti serta semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan oleh seluruh warga kerja.

Menurutnya, penghargaan terhadap sumbangan tersebut dizahirkan menerusi Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS) 2025 yang berlangsung di Ballroom Pacific Sutera Hotel, Kota Kinabalu, malam tadi.

Majlis ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi merupakan bentuk penghargaan tertinggi kepada warga kerja yang membuktikan komitmen, integriti dan prestasi luar biasa dalam memikul amanah yang diberikan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada hari ini.

Nizam berkata, beliau berbangga melihat semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan oleh seluruh warga kementerian dan agensi berkaitan dalam menjayakan pelbagai program pembangunan belia, inisiatif sukan, pembangunan atlet serta usaha memperkukuh sektor ekonomi kreatif di negeri ini.

Katanya, kejayaan Sabah melahirkan atlet yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa merupakan hasil perancangan tersusun serta kerjasama erat pelbagai pihak dalam ekosistem sukan negeri.

“Di sebalik setiap pingat yang dimenangi, terdapat usaha besar pegawai, jurulatih, pentadbir dan kakitangan sokongan yang bekerja di belakang tabir. Kejayaan atlet adalah kejayaan seluruh pasukan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri terus memberi penekanan serius terhadap pembangunan modal insan sebagai asas kepada kemajuan negeri.

Sehubungan itu, katanya, kementerian akan terus komited memperluaskan pelbagai inisiatif bagi memperkasa golongan muda menerusi pembangunan kepimpinan, peningkatan kemahiran, keusahawanan, bakat sukan serta industri kreatif.

“Kita mahu anak muda Sabah bukan sahaja berjaya sebagai atlet dan usahawan, tetapi juga menjadi pencipta pekerjaan, penggerak ekonomi serta pemimpin masa depan yang mampu membawa negeri ini ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Nizam mengucapkan tahniah kepada semua penerima APC 2025 dan menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai simbol kepercayaan terhadap kecemerlangan yang telah dipamerkan sepanjang perkhidmatan mereka.

Beliau berkata, anugerah yang diterima bukanlah destinasi akhir, sebaliknya amanah untuk terus menjadi contoh dan inspirasi kepada rakan sekerja dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Pada masa sama, beliau turut menggesa warga kerja yang belum menerima pengiktirafan supaya terus berusaha dan tidak berputus asa.

“Jangan sesekali kecewa kerana setiap usaha yang dilakukan dengan penuh keikhlasan pasti akan dihargai. Kecemerlangan adalah satu perjalanan yang berterusan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Majlis Sukan Negeri Sabah serta Lembaga Sukan Negeri Sabah atas kerjasama dan komitmen yang diberikan selama ini.

Menurutnya, budaya kerja cemerlang, integriti dan semangat Sabah Maju Jaya perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan agenda pembangunan belia, sukan dan ekonomi kreatif dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri Sabah.