KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah akan menjalankan siasatan dalaman menyeluruh berhubung dakwaan kematian seekor kucing jantan selepas menjalani prosedur pembedahan kembiri di Klinik Veterinar Kerajaan Kepayan yang tular di media sosial sejak Khamis.
DVS Sabah dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum dan memandang serius dakwaan yang dibuat oleh seorang pengguna media sosial menggunakan nama akaun thebareloons menerusi platform Threads pada 11 Jun lalu berhubung insiden tersebut.
Menurut jabatan itu, siasatan akan dilaksanakan segera bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta memastikan semua prosedur yang ditetapkan dipatuhi.
“Jabatan mengambil maklum dan memandang serius dakwaan yang dilaporkan berhubung insiden kematian seekor kucing jantan milik keluarga penama selepas menjalani prosedur pembedahan kembiri di klinik veterinar kerajaan.
“Susulan itu, satu siasatan dalaman menyeluruh akan dijalankan segera bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
DVS Sabah memaklumkan bahawa siasatan tersebut akan merangkumi pemeriksaan dokumentasi, semakan prosedur operasi standard (SOP), penelitian rekod berkaitan serta sesi soal selidik bersama petugas yang terlibat dalam mengendalikan kes berkenaan.
Bagi membantu proses siasatan, jabatan itu turut menasihatkan pemilik haiwan berkenaan supaya segera menghantar karkas kucing tersebut ke Makmal Diagnosa Veterinar (MDV) Kepayan untuk menjalani bedah siasat atau nekropsi.
“Langkah segera ini amat penting kerana karkas yang telah mengalami proses autolisis atau reput boleh menjejaskan ketepatan diagnosis dan menyukarkan penentuan punca sebenar kematian,” katanya.
Terdahulu, menerusi hantaran yang tular di Threads, pemilik akaun thebareloons mendakwa ibu bapanya menghantar kucing jantan peliharaan keluarga yang berada dalam keadaan sihat ke Klinik Veterinar Kerajaan Kepayan bagi menjalani prosedur kembiri.
Menurut hantaran tersebut, kucing berkenaan dihantar sekitar jam 9 pagi sebelum dimaklumkan bahawa prosedur hanya dapat dijalankan pada sebelah petang.
“Parents saya hantar kucing jantan saya yang sihat tiada sakit pun untuk kembiri di Veterinar Kepayan. Hantar jam 9 lebih pagi, tetapi jam 3 petang baru kena operate dengan alasan kucing saya garang dan perlu owner di sebelah dia,” tulis pemilik akaun tersebut.
Beliau turut mendakwa kucing berkenaan diserahkan semula kepada keluarganya dalam keadaan tidak sedarkan diri, bibir bertukar ungu dan tidak menunjukkan tanda-tanda pernafasan.
Menurutnya, selepas mendapatkan pemeriksaan lanjut di sebuah klinik veterinar swasta, mereka dimaklumkan bahawa kucing tersebut telah meninggal dunia.






