73 Pelajar SMK Datuk Peter Mojuntin Raih 5A Ke Atas, Mandela Galak...

73 Pelajar SMK Datuk Peter Mojuntin Raih 5A Ke Atas, Mandela Galak Rebut Peluang BKNS

0
SHARE

PENAMPANG: Seramai 73 pelajar SMK Datuk Peter Mojuntin berjaya memperoleh keputusan 5A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, manakala 17 daripadanya mencatat keputusan Straight A, sekali gus membuktikan kecemerlangan akademik yang terus dipamerkan oleh sekolah berkenaan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun berkata, pencapaian itu wajar dijadikan pemangkin untuk para pelajar terus melangkah ke peringkat pendidikan yang lebih tinggi dengan memanfaatkan pelbagai bantuan yang disediakan oleh kerajaan negeri, termasuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) yang telah dibuka semula bermula 11 Jun lalu.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Murid (MAKEM) SMK Datuk Peter Mojuntin bagi Sesi Akademik 2025 yang berlangsung di Dewan Harmoni sekolah berkenaan, pada Khamis.

Dalam ucapannya, Mandela mengucapkan tahniah kepada seluruh warga sekolah atas kejayaan yang dicapai dalam SPM 2025 serta menghargai peranan guru dan ibu bapa dalam membimbing pelajar mencapai kecemerlangan.

“Pencapaian ini merupakan hasil usaha gigih pelajar, dedikasi guru-guru dan sokongan berterusan ibu bapa. Saya berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pendidikan,” katanya.

Beliau turut menggesa pelajar yang layak agar tidak melepaskan peluang memohon BKNS bagi membantu mereka melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Kerajaan Negeri Sabah komited memastikan faktor kewangan tidak menjadi penghalang kepada anak-anak Sabah untuk melanjutkan pelajaran. Sebab itu pelbagai bentuk bantuan dan biasiswa disediakan untuk membantu mereka mencapai cita-cita,” katanya.

Menurut beliau, selain biasiswa dan dermasiswa, kerajaan negeri turut menyediakan 14 inisiatif bantuan pendidikan yang merangkumi Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (SUBFLY) serta Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).

Pada majlis tersebut, Mandela turut menyampaikan insentif pendidikan kepada pelajar-pelajar cemerlang sebagai tanda penghargaan atas pencapaian mereka dan galakan untuk terus melakar kejayaan pada masa hadapan.

Beliau berkata, program penyampaian insentif pendidikan yang kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya terus menjadi antara inisiatif utama dalam menghargai kecemerlangan pelajar di kawasan Penampang.

Katanya, selepas dilaksanakan di SMK Bahang, program sama akan diteruskan ke SMK Limbanak dan SM St. Michael dalam masa terdekat bagi memastikan lebih ramai pelajar cemerlang menerima pengiktirafan sewajarnya.

Majlis MAKEM diadakan bagi mengiktiraf pencapaian akademik pelajar serta menghargai komitmen guru dan ibu bapa yang memainkan peranan penting dalam membentuk kejayaan generasi muda.