KOTA KINABALU: Bekas pemain bola sepak negeri, Henry Saimpon mencadangkan agar Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) menubuhkan Liga Bola Sepak Sabah atau menghidupkan semula kejohanan berprestij Piala Borneo.
Menurutnya, inisiatif itu bukan sahaja dapat merancakkan lagi arena bola sepak di Sabah, malah berpotensi melahirkan lebih ramai bakat tempatan.
“Liga ini juga boleh menjadi peluang kedua kepada pemain Sabah FC yang diketepikan untuk terus menyambung kerjaya dalam bola sepak,” katanya.
Henry menambah, selepas penstrukturan semula pasukan, ramai pemain yang pernah membawa kejayaan kepada Sabah termasuk menjuarai Liga Premier 2019 terpaksa mencari peluang di pasukan lain, namun ada yang akhirnya terkandas daripada Liga Malaysia.
Beliau yang juga Naib Presiden KDM berkata demikian ketika merasmikan Karnival Bola Sepak Veteran 11 Sebelah di Padang Pekan Tamparuli pada Ahad.






