PADU Mampu Perbaiki Agihan Subsidi

PADU Mampu Perbaiki Agihan Subsidi

0
SHARE
Andi
Andi (tiga dari kiri) menerima cenderamata daripada Jainisah (empat dari kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

TAWAU, SABAH – Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) mampu memperbaiki agihan subsidi kepada rakyat.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Dan Keusahawanan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, PADU adalah sistem komprehensif yang memudahkan pemantauan agihan bagi mengelakkan pembaziran.

“PADU akan meminimumkan ketidaktepatan dengan mengenal pasti jenis subsidi dan bantuan yang boleh disalurkan bagi membantu meringankan beban ketua isi rumah.

“Pembukaan kaunter oleh Jabatan Perangkaan di beberapa kawasan tumpuan orang ramai dapat membantu masyarakat yang mempunyai masalah semasa melakukan pendaftaran seperti capaian internet dan sebagainya,” kata beliau ketika merasmikan Malam Simfoni Rakyat Daerah Tawau 2024 di Taman Semarak Jaya, malam Sabtu.

Andi memaklumkan kerjasama antara Jabatan Penerangan Malaysia Sabah, Jabatan Perangkaan dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat dapat membantu masyarakat di kawasan pedalaman untuk mendaftar dalam sistem PADU.

Menurut beliau, kerajaan akan melihat dari segala aspek termasuk keperluan dalam meningkatkan lagi usaha bagi membantu masyarakat di pedalaman untuk mendaftar ke dalam sistem PADU agar sasaran yang ditetapkan akan dapat dicapai.

Hadir sama, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Mohd Shoffian Mohd Said, Timbalan Ketua Polis Daerah, Champin Piuh, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Merotai, Mohd Jalani Chachu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Peter Tong Ah Pin, Pegawai Penerangan Daerah, Azuary Abdul Azis serta pemimpin-pemimpin masyarakat setempat. — JABATAN PENERANGAN SABAH