
KOTA KINABALU, SABAH – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg mendahului empat individu yang menerima darjah kebesaran Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) sempena ulang tahun rasmi ke -71 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Abang Johari bersama-sama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew Chin Jin Ketua Polis Negara, Inspektor Jeneral Tan Sri Razarudin Husain dan Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) Datuk Kumar Prabakaran menerima darjah yang membawa gelaran “Datuk Seri Panglima” itu di Istana Seri Kinabalu, semalam.
Istiadat Pengurniaan yang disempurnakan oleh Yang di-pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin yang diserikan dengan kehadiran isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni itu turut menyaksikan Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Peto Galim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Kapor, Datuk Ben Chong Chen Bin dan ADUN Banggi, Datuk Mohammad Mohamarin tersenarai antara penerima darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran “Datuk”.
Turut menerima PGDK ialah Panglima 5 Briged Kem Lok Kawi , Brigadier Jeneral Datuk Mohd Zamri Abdullah, diikuti Ketua Hakim Syarie Datuk Ahadin Arine, Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Leonard Stephen Poyong, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Maria Chong, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Josie Lai Mei Sing, Setiausaha Sulit Kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Sementara itu, Tun Juhar juga mengurniakan watikah pelantikan sebagai Jaksa Pendamai (JP) kepada enam individu antaranya Timbalan Ketua Menteri II ,Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Datuk Ewon Benedict serta Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Datuk Kassim Mansur. — JABATAN PENERANGAN SABAH