
KOTA KINABALU, SABAH – Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menerima anugerah Sayap Kehormat VAT 69.
Penyematan anugerah Sayap Kehormat VAT 69 tersebut disampaikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada kemuncak Majlis Istiadat Perbarisan Sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi yang ke-71 TYT di Padang Merdeka, pada Sabtu.
Sehingga kini, terdapat lapan kategori sayap penerjunan dianugerahkan kepada individu yang layak menerusi pentauliahan rasmi selepas berjaya melaksanakan penerjunan payung terjun dan lulus kursus kepakaran yang disyaratkan.
Kategori sayap penerjunan antaranya adalah Sayap Penerjunan Kehormat Polis Diraja Malaysia yang dianugerahkan kepada pembesar-pembesar negara serta pegawai polis yang memberi sumbangan bakti serta berperanan dalam memajukan payung terjun PDRM.
Pengurniaan tersebut juga sebagai manifestasi penghargaan dan penghormatan kepada individu yang berperanan penting dalam memberikan sumbang bakti kepada organisasi PDRM amnya serta komando secara khususnya. — JABATAN PENERANGAN SABAH