KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri akan membantu Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) mendapatkan tanah yang sesuai sebagai tapak pejabat mereka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, SLS telah membantu kerajaan khususnya dalam memberikan bantuan undang-undang percuma kepada rakyat dan juga turut serta dalam pendaftaran lewat kad pengenalan dan surat beranak kaedah Mobile Court.
Dia berkata demikian ketika bertemu jawatankuasa eksekutif SLS yang diketuai oleh Presidennya, Roger Chin, semasa mengadakan kunjungan hormat di Pusat Pentadbiran Negeri (PPNS) siang tadi.

Turut hadir ialah Penasihat Undang-Undang Teknikal Menteri Besar, Datuk Brenndon Keith Soh.
Hajiji bersetuju dengan Chin tentang perlunya beberapa peraturan dan undang-undang kecil yang sudah ketinggalan zaman dipinda sesuai dengan arus masa.

Menurut Ketua Menteri, dia sendiri telah membuat pindaan terhadap undang-undang kecil daerah selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan suatu ketika dulu.
Bersama Chin ialah Naib Presiden SLS Mohamed Nazim Maduarin, Setiausaha Ryan Soh, Penolong Setiausaha Song Wei Wan dan Bendahari Dominic James Ghani.