Bayi Perempuan 11 Bulan Maut Jatuh Dari Tingkat 3 Kediaman

Bayi Perempuan 11 Bulan Maut Jatuh Dari Tingkat 3 Kediaman

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KUALA LUMPUR – Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan maut selepas terjatuh dari tingkat tiga kediaman keluarganya di Blok D, PPR Sri Aman, Jalan Aman Putra di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis menerima laporan insiden itu pada 6 petang dan sepasukan anggota polis dari Balai Polis Jinjang kemudian menjalankan siasatan di tempat kejadian.

“Siasatan mendapati mangsa dikatakan sedang bermain bersama abang, kakak dan sepupunya di atas katil bahagian atas bersebelahan dengan tingkap yang berada dalam bilik pertama rumah sebelum terjatuh dari tingkap kira-kira 3 petang…

“Katil berkenaan dirapatkan ke bahagian tingkap untuk mengemas bilik terbabit. Siasatan mendapati tingkap di dalam bilik itu tidak mempunyai pagar dan katil diletakkan di tengah tingkap tanpa sebarang halangan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Eng Lai berkata, siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam insiden itu.

“Ibu mangsa membawa mangsa ke Hospital Selayang (HS) untuk mendapatkan rawatan dan apabila tiba di Unit Kecemasan Hospital Selayang, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan…

“Mayat kemudian dirujuk ke Unit Forensik HS untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian,” katanya.

Katanya, hasil laporan bedah siasat mendapati kematian berpunca daripada kecederaan parah di bahagian kepala akibat jatuh dari tempat tinggi.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).