PETALING JAYA, SELANGOR – Kelantan dilarang bertanding dalam Liga Super musim 2024/2025.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengeluarkan kenyataan yang mengatakan kelab Pantai Timur itu tidak akan diberikan lesen untuk beraksi.
“Keputusan ini dibuat kerana Kelantan FC telah gagal melengkapkan dua Kriteria Kewangan di bawah sub-kriteria F.04 (Tiada Hutang Tertunggak Terhadap Pekerja, LHDN, KWSP, Perkeso & EIS – Sehingga Jun) dan sub-kriteria F.11 (Tiada Hutang Tertunggak Terhadap Pekerja, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS – Setakat Ogos) sebelum tarikh akhir yang ditetapkan pada 30 Nov dan 31 Dis 2023,” katanya.
Bagaimanapun, Kelantan telah dibenarkan mengemukakan rayuan kepada Badan Rayuan Pelesenan Kelab MFL sebelum tarikh akhir pada Isnin hadapan sebelum pukul lima petang.






