MELBOURNE, AUSTRALIA – Seorang kanak-kanak perempuan yang baru berumur ENAM (6) tahun sudah menjadi pemilik sebuah rumah di kawasan luar bandar Melbourne sini.
Ianya sekaligus menjadikan Ruby McLellan pemilik rumah yang termuda di dunia.
Pada masa harga rumah di Australia sedang melonjak, Ruby bersama adik beradiknya Lucy dan Gus, telah mengumpul duit daripada hasil-hasil kerja di rumah bagi menjayakan pelaburan tersebut.
Rumah satu tingkat berkenaan yang masih sedang dibina, bernilai sekitar AUD$671,000 (RM2.03 juta) dan dijangka akan berganda kepada RM4.07 juta lebih kurang 10 tahun daripada sekarang.
Bapa kepada anak beranak itu, Clyde McLellan, 36, yang juga pengarah syarikat hartanah OpenCorp berkata kepada DailyMail Australia yang beliau sangat menggalak anak-anaknya untuk turut berkecimpung dalam bidang tersebut.

“Dengan nasihat saya, ketiga-tiga daripada mereka berjaya mengumpul AUD $2000 (RM 6,078) bagi membayar deposit untuk tanah di daerah itu (Clyde),” katanya.
Beliau juga merupakan penulis buku “My Four Year Old, the Property Investor” yang laris dijual sejak ianya diterbit November lalu.
Buku terbabit memfokuskan petua dan teknik mudah difahami bagi membina portfolio dalam arena hartanah.
“Saya menulis buku ini sebagai panduan apabila mereka sudah menjadi dewasa nanti…
“Mereka bercadang untuk terus menjual rumah itu hanya pada tahun 2023 dan seterusnya membelah bahagikan keuntungan,” tambahnya.
Portal hartanah ‘Domain Australia’ melaporkan purata harga sebuah rumah di Australia bernilai AUD $1 juta dan bagi daerah Melbourne, harga rumah sejak awal tahun ini telah melonjak setinggi 19.5 peratus.
Menurut Daily Mail, Bank Negara Australia iaitu Commonwealth Bank, mendapati lebih daripada suku penduduk negara itu sedang mempertimbang untuk bergabung pendapatan bersama ahli keluarga ataupun rakan-rakan demi mampu memiliki sebuah rumah.





