Penubuhan 2 Taman Marin Dapat Terus Pelihara Biodiversiti Kehidupan Marin Di Sabah

Penubuhan 2 Taman Marin Dapat Terus Pelihara Biodiversiti Kehidupan Marin Di Sabah

0
SHARE

KUDAT, SABAH – Biodiversiti kehidupan marin khususnya ekosistem habitat terumbu karang negeri ini terus terpelihara dengan penubuhan DUA (2) taman marin baru dalam tempoh terdekat.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin berkata taman-taman tersebut adalah Teluk Darvel di Lahad Datu dan Marin Terumbu Mantanani di Kota Belud.

“Usaha ini adalah di atas kepentingan aspek keselamatan makanan, sara hidup mapan dan pembangunan ekopelancongan di perairan dan kepulauan Sabah…

“Pewartaan Taman Tun Mustapha banyak memberi manfaat kepada komuniti khususnya melalui pembabitan program dalam Zon Kegunaan Komuniti.”

Pada masa yang sama, beberapa program dilaksanakan Taman-Taman Sabah bersama pihak lain seperti WWF Malaysia, Universiti Malaya (UM) dan agensi lain sedang berlangsung.

Beliau memberi contoh kerjasama pelancongan komuniti Supirak-Pitas, pemeliharaan penyu di Tigabu, pelantikan Renjer Kehormat Taman, program kampung angkat dan pembangunan kawasan Zon Pemeliharaan Komuniti di Berungus, Program Penambahbaikan Perikanan di beberapa kampung terpilih di Teluk Marudu mampu mencetus usaha berterusan untuk memulihara industri perikanan.

“Taman Tun Mustapha merangkumi beberapa zon perairan iaitu Zon Pemeliharaan, Zon Kegunaan Komuniti, Zon Pelbagai Guna dan Zon Perikanan Komersial di mana setiap zon mempunyai objektif konservasinya sendiri bagi mengawal aktiviti tertentu,” beliau berkata pada Majlis Pelancaran Kapal Si Buding Taman Tun Mustapha di Jeti Marina Kudat,” kelmarin (Selasa).

Kapal Si Buding berperanan sebagai kemudahan pejabat dan stesen bergerak untuk Taman Tun Mustapha.

Kapal itu dinamakan sempena seekor jerung paus jenis terancam “Si-Buding” yang mendiami kawasan perairan seluas 898,732.76 ha digazet kerajaan pada tahun 2016.