KIMANIS, SABAH – Seorang kanak-kanak perempuan sembilan (9) tahun maut bersama ibunya dalam pertembungan antara kenderaan Toyota Vigo dinaiki mereka dan sebuah lori 3 tan di Jalan Kimanis – Keningau di sini hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah berkata terdapat enam (6) mangsa yang terlibat dalam kemalangan jalan raya kira-kira pukul 2.10 petang tadi.
Pihak Bomba mengenal pasti mangsa yang meninggal dunia sebagai Daphne Dale, 9, dan Deny Rizlin William, 39.
“Seorang mangsa, Daryleen Chilap, 13 mengalami cedera parah,” katanya sambil menambah semua yang terlibat turut mengalami kecederaan termasuk pemandu lori.

Katanya, pemandu tersebut ialah Imran Turimin, 43, manakala penumpang dalam kenderaan Vigo merupakan keluarga termasuk Daniela Dale, 6, dan datuknya, William Baru Ngilo, 61.
“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan mendapat rawatan awal oleh Pasukan EMRS di tempat kejadian bersama bantuan Ambulans…
“Kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya setelah disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan di tempat kejadian.

“Mangsa-mangsa yang cedera telah dikejarkan ke Hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya menaiki Jentera EMRS dan Ambulans,” kata sumber yang sama sambil menambah operasi ditamatkan pada jam 4.25 petang.





