Sook Bakal Menjadi Daerah Penuh Tahun Ini

Sook Bakal Menjadi Daerah Penuh Tahun Ini

0
SHARE
Ellron
Ellron ketika meninjau tamu Sabtu Kampung Binuwou Tengah ( Sumber Foto: Ihsan KBS )

SOOK, SABAH – Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin menyatakan Sook sebenarnya sudah layak untuk diwartakan sebagai daerah penuh memandangkan daerah kecil Sook telahpun memenuhi syarat-syarat untuk menjadi sebuah daerah penuh.

“Kita sebenarnya sudah layak untuk menjadi salah satu daerah penuh, dan saya difahamkan tahun ini, dalam masa yang terdekat, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah akan membawa perkara ini ke Jemaat Menteri untuk membentangkan kelulusan dan seterusnya mengisytiharkan Sook sebagai daerah penuh” kata beliau ketika ditanya oleh pemberita.

Beliau turut berharap perasmian daerah kecil Sook kepada daerah penuh akan dapat direalisasikan tahun ini.

Terdahulu, beliau hadir di Kampung Binuwou Tengah bagi menyempurnakan perasmian Tamu Sabtu Kampung Binuwou Tengah.

Dalam ucapan, beliau menyatakan rasa bangga terhadap pewujudan Tamu Sabtu Kampung Binuwou Tengah kerana usaha ini membolehkan penduduk kampung dan kampung-kampung berdekatan untuk berniaga dan memasarkan produk mereka sekaligus meningkatkan tahap ekonomi mereka.

“Pewujudan tamu di kampung ini merupakan satu usaha yang harus dipuji kerana ianya memberikan peluang kepada penduduk kampung untuk berniaga dan memasarkan produk mereka secara langsung kepada pembeli” kata Ellron.

Selain itu beliau berharap agar tamu ini dapat diteruskan serta dimajukan agar ia menjadi satu medium penting bagi warga kampung untuk menjana pendapatan.

Disamping itu, beliau juga akan sedaya memenuhi hasrat Pengerusi Tamu Puan Misni Pinin yang menyuarakan agar beberapa buah gerai lagi dibina di tamu tersebut bagi memudahkan dan memberikan keselesaan kepada peniaga dan pembeli.

Hadir sama dalam majlis perasmian itu Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tony Talasoi, Ketua Kampung Binuwou Tengah Norhaidar Kasiman.