Oleh: Mirlen Axtius
KOTA KINABALU: Tinjauan di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pagi ini mendapati pengawalan ketat oleh pihak keselamatan susulan pendakwaan terhadap lima remaja yang dikaitkan dengan kes buli melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13.
Turut kelihatan para pengamal media mula berkumpul seawal jam 6 pagi, manakala kawalan polis dimulakan sekitar jam 7 pagi termasuk dua sekatan jalan raya di pintu masuk kompleks.
Kelima-lima remaja terbabit yang masih berusia belasan tahun didakwa mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan atas kesalahan perbuatan buli.
Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan semalam memaklumkan pertuduhan hari ini tidak melibatkan punca kematian Zara, sebaliknya inkues tetap akan dijalankan bagi menentukan sebab sebenar kematian pelajar berkenaan.






