Wanita Maut, Isuzu D-Max Terjunam Ke Sungai Selepas Rempuh Penghadang Jambatan

Wanita Maut, Isuzu D-Max Terjunam Ke Sungai Selepas Rempuh Penghadang Jambatan

0
SHARE

RANAU: Seorang wanita berusia 47 tahun maut selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max yang dinaikinya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jambatan dan terjunam ke dalam Sungai Bayaan di Kilometer 20, Jalan Ranau-Telupid, berhampiran Kampung Nalapak, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian kemalangan membabitkan sebuah kenderaan terbabas sendiri di lokasi berkenaan.

Katanya, sepasukan anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) kemudian diarahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan.

“Setibanya di lokasi, anggota mendapati sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jambatan Sungai Bayaan dan terjatuh ke dalam sungai.

“Pasukan bomba yang berada di lokasi berjaya mengeluarkan mangsa dari kenderaan terbabit, namun wanita tempatan berusia 47 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Mursalin menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu serta mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau di talian 088-875222,” katanya.