KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri komited untuk mencapai sasaran penstrukturkan semula pentadbiran daerah di seluruh negeri Sabah bermula pada tahun ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, ianya bagi memastikan pembangunan daerah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Pusat Pentadbiran Daerah Penuh akan melibatkan implikasi kewangan yang besar kepada Kerajaan Negeri dan oleh itu, kerajaan perlu meneliti sebaik-baiknya sebarang cadangan yang boleh membawa perbelanjaan yang besar dan berpanjangan kepada kerajaan…
“Langkah menaik taraf daerah kecil kepada daerah penuh bukanlah satu jalan penyelesaian untuk membangunkan daerah dengan lebih efektif,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Mohammad Mohamarin, yang bertanya jika kerajaan akan memberikan taraf daerah penuh kepada daerah-daerah kecil di seluruh Sabah demi memacu pembangunan yang lebih efektif semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Hajiji berkata pendekatan baharu itu mensasarkan sebanyak 73 jawatan Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) yang akan memudahcara pengurusan pembangunan di 73 kawasan DUN.
Katanya Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) ini akan bertindak sebagai ‘focal officer’ yang akan bertanggungjawab memantapkan lagi pengurusan dan pentadbiran di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
“Secara prinsipnya kerajaan telah mensasarkan sebanyak 24 orang Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) baharu akan ditempatkan di 24 Pejabat Daerah Penuh selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini. Sementara selebihnya akan dilaksanakan pada tahun 2022,” jelasnya.
Beliau berkata kerajaan sedar bahawa beban tugas yang digalas oleh Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Daerah pada masa ini adalah amat berat.
“Beban tugas yang berat boleh menjejaskan prestasi pegawai dan tidak fokus dalam menjalankan tugas. Ini juga boleh menjadi salah satu punca berlakunya teguran audit ke atas pentadbiran Pejabat Daerah,” jelasnya.
Beliau memberi contoh pada tahun 2019 dan 2020, enam (6) Pejabat Daerah iaitu Beaufort, Keningau, Kunak, Lahad Datu, Putatan dan Tongod telah menerima teguran Jabatan Audit Negara berkenaan dengan kaedah perolehan, pembayaran dan pelaksanaan perolehan di daerah masing-masing.
“Dari itu, penyelesaian kepada perkara ini bukanlah hanya dengan menaik taraf pejabat daerah kecil kepada pejabat daerah penuh…
“Sebaliknya pendekatan untuk menstruktur pentadbiran daerah akan lebih berkesan dalam usaha merancakkan lagi pembangunan di daerah.
“Dalam masa yang sama pelaksanaan projek pembangunan akan dapat disiap-sempurnakan mengikut tempoh yang ditetapkan dan dapat meminimakan kos serta ketirisan,” katanya.
Hajiji berkata model yang diperkenalkan adalah berdasarkan amalan yang dilaksanakan di daerah lain di Malaysia khususnya di Semenanjung.
“Pertambahan jumlah perjawatan di Pejabat Daerah diharap dapat membantu pegawai melaksanakan tugas secara lebih tersusun, terancang, cekap dalam membuat keputusan dan bertindak pantas untuk memacu pembangunan di daerah.
“Untuk memastikan pembangunan yang berterusan di sesebuah daerah, maka kerajaan akan meneliti semula kriteria pewujudan Pejabat Daerah Penuh.
“Kriteria ini harus memberi keutamaan kepada daerah yang boleh memungut hasil untuk menampung keperluan penubuhan Majlis Daerah disamping kriteria-kriteria lain.
“Misalnya, Pejabat Daerah Membakut yang mempunyai pungutan hasil sebanyak RM6.38 juta dalam setahun telah membolehkannya dinaik taraf sebagai Pejabat Daerah Penuh,” tambahnya.
Berdasarkan rekod pungutan hasil oleh Majlis Daerah pada tahun 2020, terdapat beberapa Majlis Daerah yang gagal mengutip hasil di daerah.
Ketua Menteri berkata itu menjadikan Majlis Daerah berkenaan sebagai liabiliti kepada Kerajaan.
Beliau memberikan contoh Majlis Daerah Semporna (RM789,541.00), Pitas (-RM568,684.00), Nabawan (RM2,252,311.00), Lahad Datu (-RM2,573,371.00), Kunak (RM1,281,662.00 dan Majlis Daerah Kuala Penyu (RM104,344.00).
“Ini menunjukkan pendapatan yang dikutip oleh Majlis Daerah adalah mencerminkan kesediaan daerah tersebut untuk menjadi sebuah daerah penuh…
“Justeru, kriteria baharu ini akan dijadikan sebagai kriteria penentu kepada pewujudan Pejabat Daerah Penuh pada tahun hadapan.
“Ini membuktikan langkah menaik taraf daerah kecil kepada daerah penuh bukan penentu kepada kemajuan pembangunan di daerah berkenaan.
“Kerajaan akan sentiasa memastikan inisiatif penstrukturan semula pentadbiran daerah ini akan membolehkan sesebuah daerah itu membangun dan berdaya saing setanding dengan daerah-daerah lain di Semenanjung yang berjaya,” ujarnya.





