KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri harus berganding bahu dalam melaksanakan tanggungjawab berkaitan keselamatan.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata kerajaan negeri terutamanya negeri Sabah berperanan mengatasi masalah berkaitan keselamatan khususnya isu masalah individu tanpa dokumen.
“Kerajaan negeri juga harus melakukannya kerana ia tidak melanggar Perlembagaan dan undang-undang…
“Kita buat bersama-sama untuk membolehkan kita mengurangkan masalah individu tanpa dokumen ini di negara ini.
“Kalau kita nak bantu mereka bukan semestinya kita bagi mereka kewarganegaraan…
“Tidak sewenang-wenangnya mereka masuk ke negara ini dan diberi kewarganegaraan. Kita beri dokumen bukan untuk menjadikan mereka warganegara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi townhall Program Kita Demi Negara Siri Kedua Zon Sabah bertempat di Perkarangan Stadium Likas, di sini, hari ini.
Sementara itu, Hamzah ketika diminta mengulas mengenai strategi baharu KDN dalam mengatasi masalah tersebut, beliau menyatakan pendekatan yang diambil pihaknya adalah berbeza.
“Kita perlukan kehendak politik (political will) dan saya telah meminta kerajaan negeri duduk berbincang dengan ahli politik veteran dari semua parti politik terutamanya Sabah untuk memutuskannya…
“Saya tidak mahu tampil dengan strategi tetapi mereka sendiri tidak mahu terima jadi satu-satunya cara adalah mereka kena memikirkan cadangan penyelesaian, beritahu saya dan kita akan lihat,” katanya.