KOTA KINABALU, SABAH – Keputusan untuk membubarkan parlimen seterusnya melaksanakan Pilihan Raya Umum (PRU) -15 harus mendapatkan pandangan daripada barisan kabinet terlebih dahulu.
Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata semua sedia maklum Perdana Menteri mempunyai kuasa menasihatkan Yang di-Pertuan Agong berkenaan perkara tersebut.
Walau bagaimanapun, mendapatkan pandangan barisan kabinet sebelum menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan PRU telah sedia termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
Oleh itu, pihaknya menyifatkan tindakan Keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menetapkan PRU-15 untuk diadakan pada tahun ini adalah tidak mematuhi peruntukan dalam Perlembagaan.
“Apakah itu tujuan dan matlamat mereka? Saya tak tahulah yang pentingnya dalam Perlembagaan bahawa Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen setelah berbincang dengan kabinet…
“Apabila sudah sampai waktu untuk kerajaan membubarkan Parlimen, mungkin kerana sudah adanya keperluan untuk rakyat melantik atau mencari kerajaan yang baharu.
“Kalau kerajaan yang ada hari ini baik sepatutnya diteruskan sehingga tamat tempoh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai komen BERSATU berkaitan keputusan mesyuarat MKT UMNO yang membuat ketetapan PRU-15 diadakan tahun ini dalam satu sidang media.
Sidang media terbabit diadakan selepas sesi townhall Program Kita Demi Negara Siri Kedua Zon Sabah bertempat di Perkarangan Stadium Likas, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hamzah turut menyatakan UMNO harus maklum kerajaan yang memerintah hari ini bukan diterajui sebuah parti dominan tetapi terdiri daripada pelbagai parti politik khususnya dari gabungan sebelum membuat sebarang keputusan untuk membubarkan Parlimen.
“Jadi kena fikir panjanglah. Kadang-kadang UMNO tidak berfikir panjang dan ini masalah kita. Saya memikirkan kepentingan rakyat kerana segala apa yang kita lakukan adalah untuk kepentingan rakyat…
“Visi kita adalah untuk memastikan negara kita menjadi salah satu negara terbaik di dunia dimana semua di seluruh dunia datang untuk melawat, duduk dan memajukan negara ini bersama undang-undang yang dipercayai serta diyakini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebelum ini berkata susulan keputusan tersebut, Perdana Menteri bakal mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.