Hajiji Serah Bantuan YKS RM30,600 Kepada 102 KIR Mangsa Banjir di Tawau

Hajiji Serah Bantuan YKS RM30,600 Kepada 102 KIR Mangsa Banjir di Tawau

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyerahkan bantuan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) bernilai RM30,600, membabitkan sumbangan RM300 kepada setiap 102 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di daerah Tawau, baru-baru ini.

Sumbangan itu disampaikan Ketua Menteri melalui Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Mohd Shoffian Mohd Said, bagi membantu meringankan beban keluarga yang terkesan akibat bencana berkenaan.

Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas pengurusan bencana yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir sepanjang kejadian itu, termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau serta semua agensi dan ahli jawatankuasa yang terlibat.

Beliau berkata, komitmen dan kerjasama semua pihak dalam operasi menyelamat, pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS) serta penyampaian bantuan telah memastikan kebajikan mangsa sentiasa terpelihara sepanjang bencana berkenaan.

Banjir yang melanda Tawau baru-baru ini menjejaskan 102 Ketua Isi Rumah (KIR) membabitkan 362 mangsa, terdiri daripada 217 dewasa, 109 kanak-kanak, 28 warga emas dan lapan bayi.

Kesemua mangsa terlibat telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau sebelum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas keadaan kembali pulih.