Orang Ramai Diminta Tidak Panik Bekalan Ayam, Telur Berkurangan – Pengguna Bijak

Orang Ramai Diminta Tidak Panik Bekalan Ayam, Telur Berkurangan – Pengguna Bijak

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Orang ramai diminta tidak panik dan membuat pembelian berlebihan ekoran masalah kekurangan bekalan ayam dan telur yang melanda negara termasuk di Sabah.

Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan berkata, bekalan ayam dan telur adalah mencukupi khususnya untuk keperluan harian pengguna dan peniaga.

Menurut beliau, dalam pertemuan dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), persatuan telah diberi jaminan bahawa bekalan tersebut masih stabil dan sepatutnya mencukupi.

Meskipun diakui bahawa bekalan ayam dan telur berkurangan sekitar 10 sehingga 20 peratus,

“namun penternak dan pemborong memberi jaminan bahawa barangan tersebut masih mencukupi untuk keperluan penduduk di Sabah…

“Tambahan pula, negeri Sabah mempunyai alternatif bekalan makanan laut banyak yang berharga agak berpatutan dan mudah didapati untuk dijadikan lauk harian,” katanya.

Beliau berkata, apa yang penting kini ialah pihak berkuasa sentiasa membuat pemantauan dan pemeriksaan agar tiada pihak yang menyorok bekalan ayam dan telur atau menaikkan harga sesuka hati.

Sehubungan itu, David meminta orang ramai memberikan kerjasama dengan melapor kepada pihak berkuasa khususnya KPDNHEP jika mendapati ada pasar raya atau peniaga yang melanggar undang-undang termasuk menjual melepasi harga kawalan atau harga maksimum yang ditetapkan

Terdapat sembilan cara untuk orang ramai melaporkan kepada pihak berkuasa termasuk melalui WhatsApp. Cuma rakam gambar barangan dan harga dan terus hantar kepada pihak KPDNHEP, katanya.

Beliau berkata, pihak persatuan juga berharap agensi penguat kuasa yang lain seperti Polis Marin, APMM dan sebagainya terus mengawal ketat cubaan menyeludup barangan keperluan dan bersubsidi terutama di perairan negeri Sabah yang sangat luas.

“Kita harap pihak bertanggungjawab mengetatkan kawalan supaya bekalan keperluan bagi rakyat Sabah khususnya barangan bersubsidi tidak seludup keluar bagi memastikan keperluan rakyat Sabah mencukupi,” tegas beliau.

Orang ramai boleh membantu KPDNHEP Sabah dengan melaporkan setiap kesalahan dengan menggunakan nomborĀ talian 088-484368 (KPDNHEP Kota Kinabalu), Whatsapp 019-2794317 (Aduan Pengguna) atau emailĀ e-aduan@kpdnhep.gov.my.

Hadir sama dalam pertemuan tersebut Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Taha Julai dan Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sabah Datu Mohammed Nazrin Datu Vajin.