Kerajaan Negeri Komited Pastikan Kebajikan Pasukan Keselamatan Terus Terpelihara

Kerajaan Negeri Komited Pastikan Kebajikan Pasukan Keselamatan Terus Terpelihara

0
SHARE
Hajiji (duduk, tengah) dan Julia (duduk, dua dari kanan) bergambar kenang-kenangan bersama wakil penerima pasukan keselamatan dan petugas kesihatan pada majlis itu...

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri Sabah komited dalam memastikan kebajikan pasukan keselamatan terus terpelihara pada sambutan Aidilfitri nanti.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pengorbanan pasukan barisan hadapan itu yang bakal bertugas setiap musim perayaan dalam memastikan tahap keselamatan rakyat terus terbela amat dihargai kerajaan.

Jelas beliau, selain daripada menjaga keselamatan, jasa semua pihak terlibat termasuklah petugas kesihatan dalam mengekang penularan COVID-19 di negeri ini turut dipandang tinggi oleh Kerajaan Negeri.

“Kerajaan dan rakyat negeri Sabah amat menghargai pengorbanan setiap anggota keselamatan yang sanggup bergadai nyawa demi mempertahankan kedaulatan negeri di bawah bayu yang tercinta ini…

“Saya bagi pihak kerajaan negeri Sabah mengucapkan jutaan terima kasih di atas jasa bakti dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan.

“Tidak dilupakan petugas kesihatan, doktor, jururawat dan pasukan paramedik yang tidak pernah mengeluh tanpa mengira erti lelah dan masa.

“Sudah pasti ramai yang akan bertugas pada 1 Syawal ini dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan kuih muih Hari Raya Aidil Fitri tahun 2021 kepada pasukan keselamatan dan petugas kesihatan Sabah di Dewan Bankuasi Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), hari ini.

Hajiji menyerahkan kuih muih Hari Raya kepada Pesurujaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali…
Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Dato’ Haji Mohd Halim Khalid menerima kuih muih Hari Raya daripada Hajiji…
Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Dato’ Haji Mohd Halim Khalid menerima kuih muih Hari Raya daripada Hajiji…
Hajiji menyerahkan kuih muih Hari Raya kepada wakil Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Puan Shevena Jumin Jeffrey…

Turut hadir ialah Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Hajah Julia Salag, Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN), Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong, Setiausaha Persekutuan Sabah, Dato’ Dr. Zulkapli Mohamed, Timbalan SKN (Pentadbiran), Datuk Hajah Maznah Masnah Matsalleh selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur.

Hajiji menerima sumbangan kuih muih Hari Raya dari Datin Seri Panglima Hajah Julia Salag…

Tambah Hajiji, tugas pasukan barisan hadapan yang terdiri daripada petugas keselamatan, kesihatan dan lain-lain dilihat akan sentiasa sibuk lebih-lebih lagi dalam memastikan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terus berjalan lancar di negeri ini.

“Apatah lagi Fasa Kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kini sudah bermula sehingga Ogos ini, yang menyasarkan seramai 268,000 penerima di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis tersebut, Hajiji berkata, sumbangan kuih raya berkenaan adalah tanda penghargaan kepada semua pihak terlibat yang menjalankan tugas pada Aidilfitri nanti.

Jelas beliau lagi, pihaknya turut berharap program terbabit yang merupakan acara tahunan akan terus meningkatkan iltizam para petugas terlibat dalam menggalas tanggungjawab masing-masing.