KOTA KINABALU: Pelajar kini berpeluang menyelami secara langsung keseluruhan rantaian industri minyak sawit, daripada tapak semaian hingga ke kilang menerusi program Sustainable Palm Oil Educational Tour yang dikendalikan oleh SKG Green Sdn Bhd.
Program yang mula diperkenalkan di Sandakan pada 2024 itu kini diperluaskan sebagai sebahagian daripada inisiatif eko-pelancongan dan pembelajaran SKG Green, dengan tumpuan kepada pendedahan praktikal serta kesedaran terhadap amalan lestari dalam industri sawit.
Ketua Pegawai Eksekutif SKG Green, Philipa Datuk Wilfred Mojilis berkata, program tersebut membolehkan peserta melawat ladang, kilang dan tapak semaian Sawit Kinabalu bagi memahami secara menyeluruh proses pengeluaran minyak sawit.
“Program ini memberi peluang kepada pelajar dan pengunjung untuk melihat sendiri bagaimana industri minyak sawit berfungsi, daripada pemilihan anak benih, pengurusan ladang hinggalah kepada pemprosesan tandan buah segar di kilang.
“Ia juga sebahagian daripada usaha kami meningkatkan kesedaran terhadap amalan lestari sambil menyediakan pengalaman pembelajaran yang bermakna dan bersifat praktikal,” katanya.
Baru-baru ini, seramai 29 peserta dari Kolej Vokasional Beaufort menyertai lawatan pendidikan pertama di bawah pengurusan SKG Green yang diadakan di Kilang dan Ladang Sawit Lumadan di pantai barat.
Sepanjang lawatan, pelajar diberikan penerangan terperinci oleh pegawai Sawit Kinabalu mengenai proses pemprosesan minyak sawit, bermula daripada ketibaan tandan buah segar di kilang sehingga penghasilan minyak sawit mentah.
Malah, sebahagian pelajar turut berpeluang mencuba sendiri mengangkat tandan buah segar ke dalam traktor, sekali gus memberi gambaran jelas tentang cabaran fizikal yang dihadapi oleh pekerja ladang.
Di peringkat tapak semaian pula, peserta didedahkan kepada proses pemilihan dan penanaman anak benih kelapa sawit, yang menekankan kepentingan penggunaan bahan tanaman berkualiti dalam memastikan hasil yang optimum.
Program lawatan pendidikan ini dijalankan di beberapa lokasi operasi Sawit Kinabalu di pantai timur dan barat Sabah, termasuk Sandakan, Lahad Datu dan Beaufort.
Selain itu, program ini turut melengkapkan penawaran eko-pelancongan SKG Green di Kawasan Pemuliharaan Sungai Pin (SPnCA) di Kinabatangan, sekali gus memberikan perspektif lebih luas mengenai landskap semula jadi dan pertanian Sabah.
Dalam lawatan sulung di bawah pengurusan SKG Green, pasukan yang diketuai Eksekutif Kanan Jualan dan Pemasaran, Deveneau Daniel Jambun turut hadir bagi menilai pelaksanaan program serta mengenal pasti ruang penambahbaikan.
Dengan sambutan yang semakin meningkat daripada sekolah dan institusi, SKG Green optimis untuk menjadikan program ini sebagai platform utama dalam meningkatkan kefahaman, kesedaran serta penglibatan masyarakat terhadap industri sawit, yang merupakan antara sektor penting negara.






