PBS Sambut Baik Cadangan TPM Dari Sabah

PBS Sambut Baik Cadangan TPM Dari Sabah

0
SHARE
Datuk Seri Dr Maximus Ongkili...

KOTA MARUDU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyambut baik cadangan untuk melantik Timbalan Perdana Menteri (TPM) masing-masing dari Sabah, Sarawak dan Malaya.

Presiden PBS Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, pelantikan timbalan perdana menteri dari Malaysia Timur adalah sesuatu yang “sudah lama tertangguh”.

Katanya, perkara berkaitan pelantikan TPM bagi Sabah dan Sarawak telah dibincangkan dalam Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) berikutan permintaan orang ramai, khususnya rakyat Sabah dan Sarawak, agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan cadangan itu.

“Malah, Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu sedang melihat perkara mengenai status sama rata Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan,” kata Dr. Maximus, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

Beliau menegaskan, PBS sebagai komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), menyokong sepenuhnya cadangan itu, sambil menambah bahawa ia sudah tertunggak, dan bila direalisasikan akan selaras dengan peruntukan perlembagaan untuk memberikan status sama rata kepada Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berakhir, PBS akan mencadangkan isu ini sebagai agenda pertama mesyuarat MKMA63 pertama iaitu meluluskan cadangan tiga timbalan perdana menteri di Malaysia…

“Ia akan mewakili Malaysia baharu. Ia boleh menjadi lonjakan besar bagi Persekutuan Malaysia, dan saya yakin ia akan dipersetujui sebulat suara oleh MKMA63,” kata penyandang Ahli Parlimen Kota Marudu itu.

Cadangan itu dibuat oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa program Gelombang Biru Zon 3 Sabah di Kimanis semalam, di mana beliau berkata, BN Sabah perlu mencadangkannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memasukkannya ke dalam manifesto PRU15 gabungan itu.

Zahid berkata, tidak mustahil negara mempunyai tiga TPM.