“Kalau Tidak Puas Hati, Pintu Sentiasa Terbuka” – Rafie Tegur Pihak Timbulkan...

“Kalau Tidak Puas Hati, Pintu Sentiasa Terbuka” – Rafie Tegur Pihak Timbulkan Ketegangan Dalam GRS

0
SHARE

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bingkor, Rafie Robert mengingatkan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak seharusnya dijadikan alat untuk kepentingan peribadi mana-mana pihak, sambil menegaskan bahawa pintu sentiasa terbuka bagi mereka yang tidak lagi selesa bersama gabungan tersebut.

“GRS dibina atas asas saling percaya dan tanggungjawab bersama. Ia bukan satu pakatan yang diwujudkan atas paksaan atau ugutan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut beliau, mana-mana parti atau individu yang sudah hilang keyakinan terhadap hala tuju GRS digalakkan berundur secara terbuka dan tidak menjadi ‘gunting dalam lipatan’ yang merosakkan perpaduan dalaman.

Rafie turut mempersoalkan keikhlasan USNO yang sebelum ini tewas dalam semua kerusi ditandingi pada Pilihan Raya Negeri Sabah 2020, namun tetap diberikan tempat dalam kerajaan negeri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor atas semangat penyatuan.

“Empat tahun senyap, tiba-tiba apabila pilihan raya hampir, suara yang sama muncul semula kali ini dengan ugutan dan tuntutan. Di mana mereka selama ini?” soalnya.

Tambah Rafie, beliau turut menyentuh isu dalaman USNO yang menurutnya tidak mengamalkan demokrasi kerana jawatan utama parti dikawal sepenuhnya oleh presidennya sendiri.

“Jika dalam rumah sendiri pun enggan berkongsi kuasa, apatah lagi dalam gabungan? Pemimpin sebegini tidak layak bercakap soal hak dan keadilan dalam GRS,” tegasnya.

Beliau juga memberi amaran bahawa tindakan berpura-pura setia sambil menyimpan niat untuk menikam dari belakang tidak akan dibiarkan berterusan.

“Demi perpaduan GRS, kita tidak boleh berlembut dengan mereka yang jelas tidak setia. Pintu keluar sentiasa terbuka. Jangan jadikan GRS sebagai tebusan peribadi,” tegasnya.

Rafie menyifatkan sikap sebegini sebagai satu bentuk pengkhianatan senyap yang akhirnya akan dihakimi oleh rakyat Sabah.