HFMD Meningkat di Sabah: 4,385 Kes Direkodkan, 5 Sekolah Ditutup Sementara

HFMD Meningkat di Sabah: 4,385 Kes Direkodkan, 5 Sekolah Ditutup Sementara

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan peningkatan ketara kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini dengan 4,385 kes direkodkan sejak 1 Januari hingga 19 April 2025.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan JKNS, 83 peratus daripada jumlah keseluruhan kes melibatkan kanak-kanak berumur bawah tujuh tahun. Lima daerah mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu Kota Kinabalu (705 kes), diikuti Papar (578), Penampang (450), Keningau (431) dan Tawau (262).

“Semua kes yang dilaporkan adalah ringan dan hanya memerlukan rawatan sebagai pesakit luar. Tiada kes dimasukkan ke ICU atau melibatkan kematian,” jelas Pengarah JKNS Dr. Maria Suleiman.

Beliau turut memaklumkan bahawa majoriti jangkitan berlaku di rumah dan institusi pendidikan awal seperti taska, tadika, dan pra-sekolah.

“Setakat ini, 10 kluster HFMD dikenal pasti di sekolah, dengan lima daripadanya diarah tutup sepenuhnya, manakala selebihnya ditutup sebahagian membabitkan kelas tertentu.

“Penutupan itu bersifat sementara bagi membolehkan siasatan lanjut serta kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi dijalankan untuk memutuskan rantaian jangkitan.

“Langkah kawalan melibatkan siasatan kes, pengambilan sampel makmal, promosi kesihatan serta pemeriksaan premis berisiko berpandukan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” tambahnya.

Pihaknya turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar meningkatkan amalan kebersihan seperti mencuci tangan sebelum makan dan selepas ke tandas, serta memastikan permainan, bilik air dan barangan yang kerap disentuh dibersihkan secara berkala.

“Barangan peribadi seperti cawan, tuala dan berus gigi tidak boleh dikongsi. Kanak-kanak yang bergejala perlu segera mendapatkan rawatan dan dilarang menghadiri pusat jagaan atau tempat awam bagi mengelakkan penularan,” tegasnya.

Orang ramai diseru sentiasa peka dengan simptom HFMD dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi golongan kanak-kanak yang paling terdedah kepada jangkitan ini.