Undang-Undang Baharu Mahkamah Anak Negeri Sabah Perkasa Institusi Mahkamah Anak Negeri –...

Undang-Undang Baharu Mahkamah Anak Negeri Sabah Perkasa Institusi Mahkamah Anak Negeri – KM Hajiji

0
SHARE

TAMBUNAN: Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah 1992 akan digantikan dengan versi baharu bagi memperkemas struktur Mahkamah Anak Negeri dan memperkasa institusi tersebut, kata Ketua Menteri, Datuk Seru Hajiji Noor.

“Ini yang sedang kita buat bagi memastikan agar Mahkamah Anak Negeri lebih berkesan dan relevan,” katanya.

Hajiji berkata Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah telah menyediakan draf enakmen baharu iaitu Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah 2025 yang kini sedang diteliti oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

“Draf ini memerlukan ulasan daripada Pejabat Peguam Besar Negeri, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri dan Kementerian Kewangan sebelum diangkat kepada Jemaah Menteri dan seterusnya dibentangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri,” katanya.

“Ia adalah salah satu daripada banyak inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk memberi manfaat kepada rakyat di peringkat akar umbi,” katanya semasa pelancaran Pesta Kaamatan 2025 di Dewan Terbuka Pisompuruan di sini hari ini.

Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri, melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, terus komited dalam usaha meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) hasil pertanian bagi memperkukuhkan keterjaminan makanan di Sabah.

SSL Sabah ketika ini hanya 22.8 peratus, dan negeri ini masih bergantung kepada makanan yang diimport, katanya.

Atas sebab itu, Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) tahun lalu, dan kini sedang giat membangunkan kira-kira 22,146 hektar sawah padi terbiar di daerah Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Keningau, Papar dan Tambunan.

“Sudah pasti ini akan membantu usaha MAFFI untuk meningkatkan SSL makanan Sabah kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2026 dan 60 peratus menjelang 2030,” katanya.

Mengulas mengenai program Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar (REPLB) yang dilancarkan pada hari Rabu (30 April), Ketua Menteri berkata ia selari dengan semangat Pesta Kaamatan dan menandakan keprihatinan mendalam Kerajaan Negeri terhadap golongan berpendapatan rendah, khususnya golongan miskin dan miskin tegar di kawasan luar bandar.

“Program ini dilancarkan sebagai langkah strategik melonjak pengeluaran hasil pertanian demi memacu pertumbuhan ekonomi petani sara diri.

“Ia bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan hasil pertanian dan keselamatan makanan di Sabah khususnya dan Malaysia amnya, tetapi juga merupakan usaha untuk memartabatkan ekonomi rakyat luar bandar, memperkasa petani, nelayan dan usahawan tani agar mereka dapat berdikari, berinovasi dan menjana pendapatan yang mampan.

“Melalui penggunaan teknologi moden, sistem sokongan rantaian bekalan, dan pembukaan peluang pasaran baharu, revolusi ini membuka jalan bagi komuniti luar bandar untuk bangkit sebagai pemain utama dalam ekonomi Sabah,” katanya.

Lebih penting lagi, Hajiji berkata pembangunan ekonomi luar bandar juga menjadi pemangkin kepada perpaduan dan kestabilan sosial.

“Apabila pendapatan meningkat, peluang pekerjaan diwujudkan, dan golongan muda kembali ke kampung dengan ilmu dan harapan, maka komuniti akan menjadi lebih kukuh, bersatu dan sejahtera. Saya berharap program ini akan membantu komuniti petani, khususnya di luar bandar,” katanya.

Hajiji berkata sambutan Pesta Kaamatan adalah antara acara penting bagi rakyat Sabah yang bukan sahaja bertujuan mengeratkan silaturahim dan perpaduan dikalangan rakyat berbilang kaum dan agama sebaliknya juga bagi menyatakan rasa kesyukuran di atas hasil tuaian yang baik.

“Lebih daripada itu, Kaamatan juga adalah cerminan keharmonian dan semangat muhibah dalam kalangan rakyat Sabah, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan nilai kemanusiaan, saling menghormati dan kebersamaan,” katanya.

Ketua Menteri menegaskan bahawa tema Pesta Kaamatan tahun ini – Kaamatan Untuk Semua, Kaamatan For All, Kaamatan Montok Toinsanan – membawa mesej yang sangat mendalam dan inklusif.

“Ia menekankan bahawa Pesta Kaamatan bukan hanya milik satu komuniti, tetapi satu perayaan bersama yang merangkul semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

“Kaamatan kini bukan hanya pesta menuai. Ia menjadi lambang penyatuan rakyat, satu ruang untuk kita saling mengenali, menghormati, dan meraikan keunikan budaya masing-masing.

“Tema ini juga mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk menyatukan rakyat Sabah dari pelbagai lapisan masyarakat bagi meraikan warisan budaya kita yang kaya dan pelbagai,” katanya.